United perlu bangkit segera

United perlu bangkit segera

LONDON, 24 Dis (AFP) – Bos Stoke City Mark Hughes berkata, Louis van Gaal tidak boleh bergantung kepada reputasi semata-mata bagi menyelamatkan diri daripada dipecat jika Manchester United gagal bangkit dengan cepat.

Bos United Van Gaal berada di ambang dipecat daripada jawatannya selepas rentetan enam perlawanan tanpa menang menyebabkan kelab Old Trafford itu tersingkir daripada Liga Juara-Juara dan terkeluar daripada kelompok empat teratas Liga Perdana.

Seperti dibuktikan Chelsea dengan memecat Jose Mourinho minggu lalu, hanya tujuh bulan selepas Blues menang kejuaraan Inggeris, pengurus tidak boleh mengharapkan pencapaian lalu menyelamatkan mereka daripada dipecat.

Hughes, bekas penyerang United, mungkin mampu menghangatkan lagi keadaan jika pasukannya Stoke mencetus kekalahan keempat berturut-turut anak buah Van Gaal pada Hari Boxing, Sabtu ini.

“Saya katakan minggu lalu apabila Jose hilang jawatannya tiada siapa kebal. Tidak kira apa yang anda lakukan dalam permainan sebelum ini dan rekodnya sebagai pengurus luar biasa, anda perlu memenangi perlawanan,” kata Hughes.