United perlukan masa untuk kembali hebat

United perlukan masa untuk kembali hebat

MANCHESTER, 24 Nov – Bos Manchester United, Jose Mourinho menjelaskan bahawa dia memerlukan masa bagi mengembalikan kelab itu sebagai kuasa besar seperti yang dilakukan pengendali sebelum ini, Sir Alex Ferguson.

“Pengurus terbaik dalam saingan Liga Perdana Inggeris memerlukan tempoh beberapa tahun bagi membina kejayaan yang berterusan. Jika yang terbaik memerlukan masa, ia membuktikan yang lain pun memerlukan masa,” kata Mourinho.

Ferguson tiba di United pada 1986 tetapi dia tidak memenangi sebarang kejuaraan sehinggalah menjulang trofi Piala FA pada 1990 dan terpaksa menunggu tiga tahun selepas itu sebelum menjuarai Liga Perdana Inggeris.

Sepanjang tempoh 26 tahun mengendalikan The Red Devils, Ferguson memenangi 38 trofi termasuk 13 gelaran juara Liga Perdana Inggeris, lima Piala FA dan dua kejuaraan Liga Juara-Juara.

Mourinho mengatakan bahawa dia memerlukan masa untuk mengembalikan Manchester United sebagai kuasa besar bola sepak. - AP
Mourinho mengatakan bahawa dia memerlukan masa untuk mengembalikan Manchester United sebagai kuasa besar bola sepak. – AP

Mourinho yang hanya mengambil alih tempat sebagai pengurus daripada Louis van Gaal, Mei lalu, berkata ia mungkin memerlukan sedikit masa untuk dia membawa impak kepada kelab itu. “Tugas ini terlalu sukar seperti yang saya jangkakan.

Saya tidak pernah jangka tugas ini mudah… saya katakan saya mahu cuba memenangi Liga Perdana Inggeris tetapi dalam masa sama saya fikir ada risiko terhadap pendekatan saya,” katanya.

United ketika ini menghuni tangga keenam liga, sembilan mata di belakang pendahulu, Chelsea. – AFP