United semakin cemas

United semakin cemas

MANCHESTER, 3 Mei (AFP) – Louis van Gaal mengakui Manchester United kini terperangkap dalam ‘perlumbaan tikus’ untuk merebut tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas skuad kendaliannya tewas mengejut 0-1 kepada West Brom di Old Trafford, awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan United kekal di tangga keempat Liga Perdana Inggeris dengan 65 mata berbaki tiga perlawanan, namun kini hanya dipisahkan empat mata dengan pencabar terdekat di tangga kelima, Liverpool yang menewaskan QPR 2-1, malam tadi.

Ia kekalahan ketiga berturut-turut United dalam saingan liga dan kali pertama dalam tempoh lebih 13 tahun dengan mereka gagal menjaringkan gol sepanjang tempoh berkenaan sejak Ogos 2007. Kini skuad Van Gaal itu kemarau gol untuk tempoh empat jam dan 45 minit.

“Mungkin kamu boleh ingat semua sidang media saya sebelum ini apabila saya berkata ia akan menjadi perlumbaan tikus sehingga ke penghujung saingan liga,” kata Van Gaal pada sidang media selepas perlawanan. “Saya kini salah seorang daripadanya kerana kami ketika itu kita mempunyai kelebihan tujuh mata.

“Tapi saya katakan yang masih berkemungkinan untuk kami dikejar pencabar lain. Saya sedar mengenainya dan pemain saya juga patut sedar. “Mungkin kami kurang bernasib baik tetapi ini masuk tiga perlawanan berturut-turut kami tewas dan gagal menjaringkan gol.

“Segala-galanya kini terletak di tangan pemain saya. Kami perlu bekerja keras tingkatkan keyakinan mereka kerana kami masih berkelebihan empat mata tetapi ia pasti lebih sukar.” United menguasai 80 peratus penguasaan bola dan melakukan 26 percubaan berbanding hanya enam dilakukan West Brom.

Namun sentuhan penyudah yang tumpul serta kecekapan penjaga gol West Brom, Moaz Byhill termasuk menyelamatkan sepakan penalti Robin van Persie pada minit ke-73 menjadi punca kekalahan United.

ARTIKEL YANG SAMA