United tekad perbaiki permainan – Young

United tekad perbaiki permainan – Young

MANCHESTER, 25 Dis (Reuters) – Ketika tekanan ke atas Manchester United kian memuncak disebabkan prestasi hambar, bintang sayapnya, Ashley Young menegaskan barisan pemain kelab itu masih bersemangat tinggi.

Katanya, semua pemain United kini bertekad untuk memperbaiki segala kesilapan dengan mencatat kemenangan ke atas Stoke City pada pertembungan selepas Krismas, Sabtu ini.

Red Devils ketika ini sudah tersingkir daripada kempen Liga Juara-Juara dan jatuh ke kedudukan kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengharungi enam perlawanan tanpa kemenangan.

“Tidak menang dalam enam perlawanan terakhir bagi kelab seperti kami adalah sesuatu yang mengecewakan.

Ashley Young (kanan) bersama rakan sepasukan yang lain dalam satu sesi latihan. – Reuters
Ashley Young (kanan) bersama rakan sepasukan yang lain dalam satu sesi latihan. – Reuters

“Kami tidak biasa tidak memenangi perlawanan, semua orang dalam bilik persalinan adalah pemenang dan kami mahu kembali dengan rentak kemenangan.

“Kami adalah pemain yang berada di sana, di atas padang dan kami tidak menampilkan persembahan yang baik seperti yang kami lakukan sebelum ini,” kata pemain kebangsaan England itu.

Kritikan terhadap United kian memuncak disebabkan gaya permainan yang ditampilkan pasukan itu sejak beberapa bulan lalu.

“Jelas semua orang kecewa dengan beberapa perlawanan sebelum ini, namun saya sentiasa berkata yang semangat pasukan sentiasa menakjubkan,” katanya yang baru pulih daripada kecederaan dan turut diturunkan ketika United mencatat kekalahan kepada Norwich, Sabtu lalu.

ARTIKEL YANG SAMA