United tidak ...

United tidak terima begitu banyak pujian

MANCHESTER, 12 Feb – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mendakwa gaya serangan pasukannya akan dipuji lebih jika orang lain mengendalikan di Old Trafford.

United secara menyeluruh menguasai Watford pada kemenangan 2-0 dalam saingan Liga Perdana, lewat malam tadi dengan Juan Mata dan Anthony Martial membawa anak buah Mourinho kini hanya dipisahkan satu mata untuk slot ke Liga Juara-Juara.

Persembahan pemain The Red Devils tidak menggambarkan reputasi Mourinho sebagai pengurus yang mempunyai kepakaran bermain secara bertahan dan dia berkata United akan menerima lebih kredit terhadap kualiti yang ditunjukkan mereka jika dia tidak bersama kelab berkenaan.

“Ia persembahan yang sangat baik. Ia corak permainan bola sepak yang mana jika orang lain bersama pasukan ini, kamu akan katakan ia adalah seni tetapi disebabkan ia pasukan saya, kamu hanya katakan sangat baik. Namun, tidak mengapa,” kata Mourinho.

Gol Mata pada minit ke-32 membantu United memecahkan benteng pertahanan Watford biarpun sebelum itu lagi tuan rumah sudah menguasai perlawanan.

Penjaga gol Watford, Heurelho Gomes adalah individu yang paling sibuk di stadium dan selepas berjaya menyelamatkan beberapa percubaan United, akhirnya dia tewas kepada jaringan Mata yang menyudahkan hantaran daripada Martial.

Martial menjadi watak penting buat United dalam pertemuan Watford dan gol keduanya sudah menutup peluang pihak lawan untuk bangkit. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA