Universiti Republik Korea buat lawatan ke Brunei

Universiti Republik Korea buat lawatan ke Brunei

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Sepuluh orang belia yang terdiri daripada penuntut pengajian tinggi dan Universiti Republik Korea berpeluang melihat dengan lebih dekat lagi budaya dan keunikan yang terdapat di negara ini.

Ketibaan rombongan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas, hari ini, telah dialu-alukan oleh Timbalan Chief de Mission Republik Korea, Kwon Miyeon dan pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan (JBS).

Pegawai Kanan, Jabatan Belia dan Sukan, Dayang Hajah Normaslina binti Haji Sulaiman dalam temu bual di ruang ketibaan hari ini menjelaskan, Korean Youth Participants for the Brunei Darussalam and The Republic of Korea Bilateral Youth Exchange Programme 2016 ini merupakan kali kelima diadakan sejak 2012.

Beliau menjelaskan, rombongan belia Korea yang berada di negara ini selama sembilan hari hingga 19 Mei ini merupakan lawatan balas untuk rombongan belia Brunei Darussalam yang telah melawat Republik Korea April lalu.

Dalam program pertukaran ini, belia Korea akan berpeluang mengadakan lawatan ke beberapa jabatan kerajaan, berjumpa dengan beberapa persatuan dan syarikat swasta selain menghadiri resepsi dengan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Delegasi dari Republik Korea bergambar ramai dengan Pegawai JBS dan bekas peserta program.
Delegasi dari Republik Korea bergambar ramai dengan Pegawai JBS dan bekas peserta program.

Di samping itu, jelasnya lagi, belia ini juga diberi peluang mengikuti program inap desa untuk memberikan peluang kepada mereka melihat lebih dekat lagi keunikan budaya di negara ini sebelum diserahkan kepada keluarga angkat di Daerah Brunei-Muara dan Daerah Tutong.

Untuk menjadikan program ini lebih menarik, JBS telah membuat beberapa pembaharuan antaranya resepsi dengan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selain mengadakan lawatan ke daerah-daerah lain.

“Dengan adanya program lawatan ke Daerah Tutong dan Belait itu, ia akan memberi peluang kepada belia ini untuk berinteraksi dengan majlis perundingan kampung bagi membolehkan mereka melihat lebih dekat lagi kehidupan penduduk kampung sambil melihat beberapa produk tempatan,” tambah beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA