Untuk Bianchi

Untuk Bianchi

BUDAPEST, 27 Julai (Reuters) – Pelumba Jerman Sebastian Vettel menujukan kemenangannya kepada mendiang rakannya Jules Bianchi selepas pemandu Ferrari itu memecut untuk memenangi perlumbaan Formula Satu Grand Prix Hungary dalam persaingan dramatik dan dipenuhi insiden semalam.

Bagi pemandu Mercedes, Lewis Hamilton perlumbaan itu mungkin mimpi ngeri untuknya namun dia masih kekal sebagai pendahulu keseluruhan.

Ini adalah kemenangan kedua untuk juara dunia empat kali itu, dan ke-41 dalam kariernya untuk menyamai rekod mendiang Ayrton Senna yang berada di kedudukan ketiga dalam senarai sepanjang zaman, selepas dia mendahului sejak awal untuk menguasai perlumbaan yang sukar dijangkakan.

Juara dunia dua kali Hamilton hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat keenam selepas bermula dari petak pertama.

Namun, kekalahan itu tidak menggugat kedudukan pelumba Britain itu yang mendahului kejohanan dengan kelebihan 21 mata berbanding rakan sepasukannya Nico Rosberg, yang bertembung dengan pelumba Australia, Daniel Ricciardo ketika dia berusaha untuk mempertahankan kedudukan keduanya tetapi akhirnya menduduki tempat kelapan.

Sebastian Vettel (tengah) memegang bendera Ferrari dan Itali semasa meraikan kejayaan mengungguli GP Hungary di Litar Hungaroring dekat Budapest semalam. – AFP
Sebastian Vettel (tengah) memegang bendera Ferrari dan Itali semasa meraikan kejayaan mengungguli GP Hungary di Litar Hungaroring dekat Budapest semalam. – AFP

Tempat kedua dimenangi oleh pelumba Red Bull, Daniil Kvyat dari Rusia yang kali pertama menaiki podium, diikuti oleh rakan sepasukannya dari Australia, Ricciardo yang sebelumnya melanggar kedua-dua kereta Mercedes.

Vettel kemudian mendedikasikan kemenangannya untuk Bianchi, pemandu Marussia dan bekas pemandu uji Ferrari yang meninggal dunia di hospital selepas sembilan bulan koma setelah cedera parah di kepala akibat kemalangan semasa Grand Prix Jepun tahun lalu.

“Kita tahu lambat laun Jules akan menjadi sebahagian daripada pasukan ini.” katanya.

Kemenangan Vettel itu memadam rekod kecemerlangan Mercedes dan dua pemandu mereka yang telah memenangi lapan daripada sembilan perlumbaan musim ini. Hamilton yang menaiki podium 16 kali berturut-turut, dan 18 perlumbaan berturut-turut dengan sekurang-kurangnya mendahului dengan satu pusingan, kini menyaksikan penguasaannya berakhir secara mendadak.

ARTIKEL YANG SAMA