Untung pracukai MISC suku kedua meningkat kepada RM1.37 bilion

Untung pracukai MISC suku kedua meningkat kepada RM1.37 bilion

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Keuntungan sebelum cukai MISC Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2016 melonjak kepada RM1.37 bilion daripada RM772.57 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama, tahun lepas.

Hasilnya bagaimanapun, merosot kepada RM2.39 bilion daripada RM2.6 bilion sebelum ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, MISC berkata keuntungan sebelum cukai yang lebih baik itu disumbang oleh keuntungan lebih tinggi diperolehi segmen luar pesisir serta keuntungan diraih daripada pengambilalihan membabitkan anak syarikatnya.

Menurutnya, keuntungan operasi segmen perniagaan luar pesisirnya menokok sebanyak 67.9 peratus kepada RM166.6 juta berbanding RM99.2 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas, terutamanya disebabkan pengambilalihan Gumusut-Kakap Semi-Floating Production System (L) Ltd.Bagaimanapun, perniagaan lain seperti gas asli cecair dan petroleum mencatatkan keuntungan rendah manakala segmen kejuruteraan berat pula merekodkan kerugian sejajar penyusutan hasilnya.

Bagi prospek masa depan, ia melihat simpanan global yang tinggi dijangka menjejaskan pergerakan permintaan minyak mentah dalam penggal sedia ada.

Ia turut menjangkakan penghantaran kapal tangki petroleum baharu pada separuh kedua 2016 berkemungkinan memberi tekanan kepada kadar bayaran yang ditetapkan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA