Untung pracukai Petronas turun 60 peratus

Untung pracukai Petronas turun 60 peratus

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) – Syarikat minyak nasional, Petronas mengumumkan keuntungan sebelum cukainya susut 60 peratus kepada RM6.8 bilion bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2016 berbanding RM17 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama 2015.

Angka berkenaan berdasarkan perolehan sebanyak RM49.1 bilion, turun 26 peratus berbanding RM66.2 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama sebelumnya.

“Harga yang lebih rendah dalam semua produk dan susut nilai bersih aset yang lebih tinggi mengurangkan keuntungan yang sebahagiannya diimbangi oleh kos produk dan pengeluaran yang lebih rendah serta kesan kadar tukaran yang lebih baik berbanding Ringgit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Kebimbangan terhadap prospek permintaan sederhana dan lebihan bekalan yang berterusan akan terus memberi tekanan harga minyak mentah.

“Petronas menjangka prestasi juga akan dipengaruhi oleh ketidaktentuan dalam harga minyak dan kadar tukaran asing,” katanya.

Bagaimanapun, syarikat minyak negara itu menjelaskan bahawa ia akan terus dengan usaha rasionalisasi kos untuk kekal kompetitif di samping meneruskan usaha untuk meningkatkan kecekapan operasi dan penyampaian berkesan projek-projek pertumbuhan yang akan membawa nilai.

Semasa menjelas lanjut, syarikat itu berkata keuntungan bersih dan susut nilai bagi suku dalam kajian dicatatkan pada RM4.6 bilion berbanding RM11.4 bilion pada suku yang sama sebelumnya.

ARTIKEL YANG SAMA