Untung sebelum cukai dan zakat BIMB naik 7.3 peratus

Untung sebelum cukai dan zakat BIMB naik 7.3 peratus

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Holdings Bhd merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM430.2 juta, iaitu peningkatan RM29.1 juta atau 7.3 peratus bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2015, berbanding tempoh sama pada 2014.

Pendapatan bagi tempoh enam bulan meningkat kepada RM1.624 bilion daripada RM1.461 bilion.

Menurut kenyataan BIMB hari ini, Bank Islam Group merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM350.3 juta, naik 4.5 peratus atau RM15.0 juta berbanding tempoh sama setahun lalu.

BIMB berkata bank kekal di landasan dalam pertumbuhan kewangan dengan aset kewangan bersih mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun 18.5 peratus atau RM4.9 bilion untuk merekodkan RM31.1 bilion setakat 30 Jun 2015.

Bagi enam bulan pertama, pembiayaan bersih tahunan tumbuh 10.8 peratus, katanya.

Deposit pelanggan kumpulan juga mencatat pertumbuhan kukuh pada 13.5 peratus atau RM5.1 bilion tahun ke tahun untuk merekodkan RM43.3 bilion, manakala pertumbuhan tahunan bagi enam bulan pertama 2015 ialah 11.2 peratus.

Akaun semasa dan simpanan (CASA) merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun 5.2 peratus atau RM0.7 bilion.

Nisbah CASA setakat akhir Jun 2015 ialah 33.8 peratus berbanding nisbah CASA Industri Perbankan Islam pada 24.8 peratus bagi tempoh dalam semakan.

Setakat 30 Jun 2015, nisbah pembiayaan terjejas kasar bank ialah 1.18 peratus, lebih rendah berbanding nisbah Sistem Perbankan pada 1.62 peratus.

Kedudukan modal bank juga sihat untuk menyokong pertumbuhan perniagaan yang berterusan dengan nisbah kecukupan modal berwajaran risiko pada 14.3 peratus bagi tempoh dalam semakan.

Lembaga Pengarah Bank Islam mengusulkan bayaran dividen satu peringkat 5.27 sen untuk setiap saham biasa dengan jumlah keseluruhan RM123.5 juta bagi tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun 2015.

“Kira-kira 50 peratus daripada bayaran dividen satu peringkat berjumlah RM61.7 juta akan dilabur semula bagi langganan saham biasa baharu RM1.00 pada harga RM3.00 masing-masing menerusi Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP),” katanya, menambah dividen dan DRP itu sudah diluluskan oleh Bank Negara Malaysia.

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2015, Takaful Malaysia Group mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM112.0 juta, peningkatan 11.7 peratus berbanding RM100.3 juta untuk tempoh sama pada 2014.

BIMB berkata keuntungan lebih tinggi itu disumbang oleh peningkatan pendapatan fi wakalah.

Pendapatan operasi meningkat 16.2 peratus kepada RM996.0 juta daripada RM856.8 juta yang dicatat bagi tempoh sama pada 2014.

BIMB berkata peningkatan itu disumbang oleh jualan lebih tinggi kedua-dua perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am serta peningkatan pendapatan pelaburan bersih.

ARTIKEL YANG SAMA