Untung sebelum cukai SapuraKencana rendah pada suku ketiga

Untung sebelum cukai SapuraKencana rendah pada suku ketiga

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) – SapuraKencana Petroleum Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM198.022 juta pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2015, susut 51.8 peratus berbanding RM410.98 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Keuntungan rendah itu disebabkan peruntukan untuk susut nilai ke atas hartanah, loji dan peralatan serta hartanah minyak dan gas sebanyak RM317.3 juta, digabungkan dengan sumbangan keuntungan yang rendah daripada bahagian tenaga, katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Bagaimanapun, tidak termasuk peruntukan itu, PBT kumpulan tersebut sebanyak RM463 juta.

Sementara itu, perolehan kumpulan meningkat 19.9 peratus kepada RM2.89 bilion berbanding RM2.41 bilion sebelum ini, disumbangkan terutamanya daripada bahagian kejuruteraan dan pembinaan yang mencatatkan perolehan lebih tinggi.

SapuraKencana berkata peningkatan perolehan itu didorong terutamanya oleh projek antarabangsa yang baharu dilaksanakan pada suku semasa dan tempoh kewangan semasa, digabungkan dengan skop kerja yang lebih tinggi bagi projek-projek domestik.

Bagi asas sembilan bulan secara kumulatif, keuntungan sebelum cukai sebanyak RM595.49 juta berbanding RM1.57 bilion sebelum ini, perolehan masing-masing RM7.95 bilion dan RM7.55 bilion.

Bahagian perkhidmatannya, iaitu penggerudian serta kejuruteraan dan pembinaan, mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM1.345 bilion, bagaimanapun bahagian tenaga menanggung kerugian operasi sebanyak RM550 juta disebabkan persekitaran harga minyak yang lemah dan menyebabkan peruntukan untuk pengurangan nilai dibuat.

“Industri minyak dan gas terus menghadapi cabaran untuk jangka masa sederhana berikutan harga minyak rendah dan pengurangan perbelanjaan modal yang dibuat oleh pengeluar,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Shahril Shamsuddin, dalam kenyataan berasingan.

ARTIKEL YANG SAMA