Untung suku ketiga Apple naik 38 peratus

Untung suku ketiga Apple naik 38 peratus

SAN FRANCISCO, 22 Julai – Laporan kewangan suku ketiga Apple menunjukkan jualan iPhone masih melonjak, didorong sebahagiannya jualan di China.

Laporan itu juga menunjukkan jualan jam tangan pintar Apple Watch rendah dan tidak seperti yang dijangkakan oleh Wall Street.

Sebanyak 47.5 juta iPhone dijual dalam tempoh tiga bulan berakhir Jun 2015, atau 35 peratus lebih tinggi daripada angka jualan tahun lalu sekali gus melonjakkan untung Apple pada suku yang dikaji sebanyak 38 peratus kepada AS$10.7 bilion.

Pendapatan pada suku ketiga yang dijana daripada jualan semua produknya meningkat 33 peratus daripada tahun lalu kepada AS$49.6 bilion dengan iPhone menyumbang sebanyak AS$31.4 bilion.

Pendapatan bersih meningkat hampir 38 peratus kepada AS$10.7 bilion.

p18-3_20150723

Ramalan penganalisis Wall Street melalui kaji selidik oleh FactSet sebelum ini menjangkakan Apple mencatat jualan AS$49.25 bilion pada suku ketiga.

Walaupun iPhone adalah produk yang mendorong kejayaan tertinggi bagi Apple sekarang, ramai penganalisis dan pelabur melihat produk jam tangan pintarnya, Apple Watch sebagai petunjuk penting keupayaan syarikat itu menghasilkan produk baru.

Ketua Pegawai Eksekutif, Tim Cook, berkata jualan jam tangan pintar itu mengatasi rekod jualan iPhone dan iPad dalam tempoh sembilan minggu pertama selepas pelancarannya.

Apple sebelum ini menjual sejuta iPhone dalam tempoh 74 hari atau 10 minggu pertama pelancarannya pada tahun 2007 dan dua juta iPads dalam tempoh 60 hari pertama, dengan jualan iPad mencecah tiga juta unit selepas 80 hari dilancarkan pada tahun 2010.

Analisa oleh FactSet pula menjangkakan Apple akan menjual hingga empat juta jam tangan pintar pada suku ketiga tahun ini. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA