UOB jual perniagaan perbankan runcit di Brunei

UOB jual perniagaan perbankan runcit di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – United Overseas Bank (UOB) cawangan Brunei telah menjual perniagaan perbankan runcitnya kepada Bank Baiduri Berhad.

Atas perintah mahkamah, kemudahan kredit dan perbankan yang dibuat kepada pelanggan UOB Brunei dan semua akaun simpanan, akaun semasa dan akaun deposit pelanggan UOB Brunei akan pindahkan kepada Baiduri, demikian menurut kenyataan UOB yang berpangkalan di Singapura itu. UOB berkata, penjualan tersebut pada pertimbangan harga BND$65.044 juta, ditolak deposit dalam akaun pemindahan, akan diselesaikan secara pembayaran tunai.

Kenyataan itu berkata, angka tersebut adalah berdasarkan persetujuan kedua-dua belah pihak, setelah mengambil kira antaranya, potensi pulangan akaun dan unjuran kemungkaran pinjaman perbankan runcit.

Penjualan itu adalah selaras dengan hasrat Kumpulan UOB untuk ‘merasionalkan operasi dan perniagaannya bagi mencapai kecekapan kos serta menumpukan kepada pembinaan sebuah platform perniagaan yang selaras dengan prospek perniagaan di negara ini.’

Menurut kenyataan itu lagi, penjualan unit perniagaan perbankan runcitnya di Brunei dijangka tidak memberi sebarang impak kepada Tahun Kewangan 2015 Kumpulan UOB. UOB Brunei akan terus menawarkan perkhidmatan perbankan menyeluruh kepada pelanggan-pelanggan di Brunei serta akan memastikan keberadaan pengurusan asetnya di negara ini menerusi UOB Asset Management (B) Sdn Bhd.

ARTIKEL YANG SAMA