Upacara menaikkan bendera Malaysia

Upacara menaikkan bendera Malaysia

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Bersempena dengan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Malaysia ke-59 tahun, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam pagi tadi telah mengadakan Upacara Majlis Menaikkan Bendera Malaysia ‘Jalur Gemilang’ yang berlangsung di perkarangan suruhanjaya berkenaan di Jalan Kebangsaan.

Majlis telah dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman bersama isteri, Datin Rusziah binti Haji Ghulamdin serta warga Malaysia yang bekerja dan menetap di negara ini.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan upacara menaikkan bendera Malaysia dan disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku, Jalur Gemilang dan juga nyanyian lagu tema merdeka 2016 #Sehati Sejiwa.

Datuk Ghulam Jelani dalam ucapannya di majlis itu memaklumkan bahawa satu proses mengemas kini maklumat warganegara Malaysia di Negara Brunei Darussalam sedang dijalankan dan sehingga kini seramai 3,593 orang telah pun mendaftar.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar lebih ramai lagi warganegara Malaysia yang berada di Brunei untuk mendaftarkan diri dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Upacara menaikkan bendera yang disaksikan oleh Datuk Ghulam Jelani dan isteri bersama jemputan yang hadir.
Upacara menaikkan bendera yang disaksikan oleh Datuk Ghulam Jelani dan isteri bersama jemputan yang hadir.

Mengulas mengenai sambutan ulang tahun kebangsaan Malaysia, beliau berkata bersesuaian dengan situasi semasa negara, tema pada sambutan pada tahun ini iaitu ‘Malaysia Sehati Sejiwa’ adalah cukup relevan dan mempunyai makna yang mendalam.

“Seperti yang kita semua sedia maklum tema ini menggambarkan semangat kita sebagai warganegara Malaysia yang berjiwa kental yang sentiasa dan bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran.

“Walaupun sejak kebelakangan ini banyak isu yang direka untuk mencalar imej negara, mengikis kepercayaan dan memecahbelahkan semangat toleransi dan perpaduan khususnya dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, adat resam dan agama baik di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Alhamdulillah kerajaan berupaya mengatasinya dengan bijak dan penuh hemah dan berjaya mengekalkan perpaduan rakyat berbilang kaum dan mengukuhkan keyakinan rakyat.”

Beliau juga menyeru kepada rakyat Malaysia agar tidak mudah terpengaruh dengan tuduhan-tuduhan dan dakwaan-dakwaan liar yang dilontar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab khususnya di ruang siber.

“Kita semua walaupun berada di perantauan perlu menterjemahkan rasa tanggungjawab dan taat setia kepada negara dengan menunjukkan sikap yang baik dan menghormati undang-undang dan nilai budaya tempatan,” ujarnya.

Datuk Ghulam Jelani menyatakan lagi bahawa Malaysia telah menerima kesan daripada isu ekonomi dunia akibat daripada penurunan harga minyak dunia namun begitu dengan usaha dan langkah transformasi dan penjimatan yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia, ekonomi Malaysia berjaya mengekalkan pertumbuhan positif sebanyak 4 peratus dengan lebihan dagangan sebanyak 7.5 peratus dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM576.5 bilion pada setengah tahun pertama 2016, berbanding dengan jumlah yang lebih rendah RM574.44 bilion pada tempoh yang sama tahun 2015.

Menyentuh mengenai hubungan dua hala antara Brunei dan Malaysia, beliau melahirkan perasaan bersyukur dengan hubungan yang amat akrab dan istimewa yang terjalin antara kedua-dua buah negara.

“Kita seterusnya turut bersyukur atas penerimaan baik kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kehadiran rakyat Malaysia yang bermastautin di sini.

“Demi menjaga nama baik Malaysia, sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej baik negara perlu dielakkan sama sekali. Bagi pelajar-pelajar Malaysia yang berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dan menuntut di institusi-institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam, gunakanlah peluang keemasan ini sepenuhnya demi masa hadapan diri sendiri dan negara dan juga terus menjaga nama baik negara Malaysia,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, salah seorang penuntut Malaysia yang ditemui pihak Media Permata, Nur Atikah Norazam dari Universiti Utara Malaysia menyatakan bahawa beliau bersama 14 orang lagi pelajar Malaysia kini sedang berada di negara ini selama empat bulan, bermula Ogos lalu sehingga November nanti untuk melanjutkan program latihan pengajian di Universiti Brunei Darussalam.

“Setakat ini, keberadaan di Brunei sememangnya amat menyeronokkan dan penduduk Brunei memang sangat baik dan rata-rata mereka mahu memberikan kami pertolongan. Keberadaan kami di sini juga memberikan kami pengalaman yang baru dan juga rakan-rakan baru. Ini juga kali pertama kami ke Negara Brunei Darussalam.”

Para pelajar dari Malaysia itu adalah dari pelbagai universiti iaitu Universiti Utara Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah dan juga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA