Upacara Serah Terima Tugas IL ABDB

Upacara Serah Terima Tugas IL ABDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Institut Latihan Angkatan Bersenjata Brunei (IL ABDB) kini mempunyai komandan baru berikutan Upacara Serah Terima Tugas diadakan di Padang Kawad, IL ABDB, Penanjong Garison, hari ini.

Pada upacara itu, Kolonel Awang Khairul Hamed bin Haji Lampoh menerima tugas sebagai komandan daripada Kolonel Haji Abidin bin Haji Abdul Hamid.

Terdahulu, sebaik tiba di padang kawad, mantan Komandan IL ABDB, Kolonel Haji Abidin menerima Tabik Hormat dan seterusnya memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota IL ABDB di bawah perintah Ketua Perbarisan, Mejar Pengiran Haji Nazri Amir bin Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Zain.

Kemudian diikuti dengan upacara menandatangani sijil serah terima tugas jawatan komandan IL ABDB di antara kedua-duanya.

Bagi memberkati upacara, Doa Selamat telah dibacakan oleh Kapten Pengiran Khairuddin bin Pengiran Tali dari Jabatan Agama ABDB.

Upacara menandatangani sijil serah terima tugas.
Upacara menandatangani sijil serah terima tugas.
Kol Awang Khairul Hamed menerima tabik hormat.
Kol Awang Khairul Hamed menerima tabik hormat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan, Kolonel Haji Abidin mula berkhidmat sebagai leftenan muda pada 13 Januari 1989 dan pernah menjawat jawatan ketua platun di Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), pernah berkhidmat di Institut Latihan pada tahun 2008 sehingga 2010 sebagai pegawai memerintah Cawangan Perkembangan Pendidikan Pegawai, kemudian berkhidmat di inspektorat Unit ABDB pada tahun 2010 sehingga 2015 sebelum memegang jawatan komandan IL ABDB pada 29 September 2015.

Manakala itu, Kolonel Awang Khairul Hamed mula berkhidmat sebagai leftenan muda pada 23 Julai 1991, dan sepanjang kerjayanya, beliau pernah menjawat jawatan ketua platun di Batalion Pertama TDDB, ketua pengambilan rekrut, Kompeni Rekrut, Pusat Latihan ABDB pada tahun 1993, memegang jawatan sebagai pegawai memerintah Kompeni Rekrut IL ABDB pada tahun 2002 dan ketua jurulatih IL ABDB pada tahun 2008.

Di samping itu, beliau juga pernah menjawat jawatan ketua staf Markas Angkatan Bersama pada tahun 2014 dan sebelum mengambil alih jawatan komandan IL, beliau telah memegang jawatan ketua staf TDDB pada tahun 2015.

ARTIKEL YANG SAMA