UPUIH-SSM meterai MoU bidang penyelidikan

UPUIH-SSM meterai MoU bidang penyelidikan

KUCHING, 18 Ogos – Unit Pembangunan Usahawan dan Industri Halal (UPUIH) Jabatan Ketua Menteri Sarawak hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk kerjasama dalam bidang penyelidikan dan perkongsian data serta maklumat perniagaan yang didaftarkan.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata MoU itu membabitkan perkongsian kepakaran dan latihan, penggunaan fasiliti serta kerjasama dalam aktiviti yang berasaskan penyelidikan.

Beliau berkata UPUIH sedang berusaha untuk mendaftar usahawan dalam pelbagai kategori seperti usahawan kecil-kecilan, tidak berlesen atau separuh masa dalam bentuk data primer.

Berucap pada majlis menandatangani MoU itu di sini hari ini, katanya sebuah konsultan dilantik untuk membentuk data sekunder berkaitan maklumat itu menerusi pengumpulan data dari pelbagai agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam bidang keusahawanan di Sarawak.

Awang Tengah berkata kedua-dua set data itu akan dimasukkan ke dalam sistem pendaftaran usahawan untuk mengenal pasti pemain industri yang terlibat dalam bidang keusahawanan seperti penghasilan produk dan penyediaan perkhidmatan.

Katanya menerusi langkah itu, kerajaan akan dapat me-rangka pelan perancangan pembangunan keusahawanan yang lebih strategik dan berkesan secara menyeluruh untuk kepentingan usahawan di Sarawak. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA