URA pelawa kemuka cadangan transformasi Tasik Jurong

URA pelawa kemuka cadangan transformasi Tasik Jurong

SINGAPURA, 11 Julai – Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar Singapura (URA) hari ini melancarkan Permohonan Cadangan (RFP) dengan mempelawa kumpulan pelbagai bidang mewujudkan cadangan pelan induk Daerah Tasik Jurong yang juga pusat wilayah di barat republik berkenaan.

Menurut kenyataan URA, ia merupakan langkah pertama usaha transformasi kawasan itu menjadi ‘Daerah Masa Depan’ serta Daerah Pusat Kewangan (CBD) kedua republik itu.

Malah, sepertimana diumumkan kerajaan Singapura pada tahun lepas, terminal perkhidmatan Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) akan ditempatkan di Daerah Tasik Jurong berkenaan.

Usaha yang disifatkan sebagai pengubah bagi kedua-dua negara itu turut memperincikan pelan bagi pembangunan semula kawasan sekitar terminal HSR.

Ia menjadi peluang terbaik bagi menghubungkan terminal berkenaan dengan pembangunan kawasan sekitarnya, jajaran MRT sedia ada dan baharu, Hab Pengangkutan Bersepadu baharu bersebelahan stesen MRT Jurong Timur dan sambungan pejalan kaki di daerah itu.

Menurut URA, tumpuan utama perancangan induk itu melibatkan cadangan pembangunan bagi Lakeside Gateway iaitu presint perniagaan pelbagai guna baharu dan terminal HSR yang akan menghubungkan Daerah Tasik Jurong sebagai ‘Daerah Masa Depan’ dan CBD kedua Singapura.

Menteri Pembangunan Singapura merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Lawrence Wong menyifatkan daerah itu bakal memacu pertumbuhan Singapura dalam ekonomi masa depan selain memenuhi pelbagai keperluan perniagaan, penduduk, pe-ngunjung dan rakyat Singapura.

“Ia akan menjadi pintu masuk terbaharu ke Singapura yang berteraskan ciri-ciri keunikannya seperti kesalinghubungan, kemudahan akses dan mesra alam yang mana aspek mobiliti hijau dan pintar menjadi pilihan pengangkutan,” katanya.

Menurut Wong, daerah itu akan menjadi hab inovasi pintar dan pusat infrastruktur bandar lestari yang akan memacu produktiviti dan kecekapan pekerja.

“Ini adalah permulaan ke arah transformasi yang menarik. Kami teruja untuk bekerjasama erat dengan kalangan profesional dan orang ramai bagi merancang pelan yang cemerlang dalam usaha merealisasikan wawasan untuk daerah berkenaan,” katanya.

RFP itu merangkumi dua peringkat yang mana pihak-pihak berminat perlu mengemukakan hasrat untuk menyertai permohonan cadangan itu.

Berikutnya, kira-kira lima kumpulan yang disenarai-pendekkan akan mewujudkan Konsep Pelan Induk kepada pihak Daerah Tasik Jurong.

Kumpulan yang mengemukakan Konsep Pelan Induk terbaik akan dilantik pada Februari 2017 dan bekerjasama dengan URA serta agensi rakan terbabit untuk merangka Draf Pelan Induk daerah itu.

Ini akan disusuli dengan pameran awam Draf Pelan Induk Daerah Tasik Jurong sekitar suku ketiga 2017 dan selepas itu, kumpulan yang dilantik akan bekerjasama dengan URA bagi memperhalusi pelan berkenaan. – Bernama