Urat kayu semula jadi tambah keunikan perabot kayu jati

Urat kayu semula jadi tambah keunikan perabot kayu jati

NAMA saintifiknya direkodkan sebagai tectona grandis. Karakter lain termasuk pokok besar dan berbatang lurus dengan ketinggian mencapai 30 hingga 40 meter.

Pokok jati berdaun besar dan luruh ketika musim kemarau. Paling menarik perhatian ialah ia menghasilkan kayu berkualiti.

Gambaran awal ini sudah cukup meletakkan kayu jati antara material pilihan utama kebanyakan perabot dan aksesori hiasan eksklusif.

Kayu yang berada pada kelas terbaik ini mempunyai ketahanan termasuk serangan anai-anai.

Meskipun kuat dan keras, ia mudah dipotong dan diukir serta keunikannya lebih terserlah dengan kewujudan urat kayu semula jadi.

Perabot dari kayu jati jelas menyerikan lagi sesebuah ruangan dan ia juga berada pada kelas terbaik di mana ia mempunyai ketahanan termasuk daripada serangan anai-anai.
Perabot dari kayu jati jelas menyerikan lagi sesebuah ruangan dan ia juga berada pada kelas terbaik di mana ia mempunyai ketahanan termasuk daripada serangan anai-anai.

Tidak tergugat dengan kehadiran pelbagai material lain untuk penghasilan perabot alaf baru, perabot dan aksesori hiasan jati memiliki peminatnya tersendiri sejak dulu.

Kaya dengan nilai estetika dan begitu dekat dengan dekorasi konsep Nusantara, warisan Melayu, Bali dan klasik, susun letak setiap perabot jati pada ruang tertentu nyata dapat mengubah suasana secara keseluruhan.

Generasi muda yang biasanya meminati penataan moden dan kontemporari juga boleh mencetuskan kelainan jika bijak memilih rekaan dan susun atur ruang.

Laksanakan impian itu dengan memilih perabot atau aksesori hiasan jati dengan gaya atau cita rasa sendiri supaya gambaran eksklusif dapat diketengahkan sepenuhnya.

Pastikan perabot yang dibeli disertakan dengan fabrik dan kusyen kerana perabot jati jenis ini sudah ‘dimodenkan’ rekaannya berbanding tanpa sofa.

‘Mitos’ perabot jati hanya sesuai untuk kediaman luas semata-mata seharusnya diabaikan kerana ruang terhad juga masih menarik digayakan dengan material berkualiti itu asalkan kena dengan rekaannya.

Ruang balkoni pada apartmen atau kondominium sekalipun tampil bergaya dan selesa apabila kerusi santai jati diletakkan.

Mempertahankan keunikan perabot dan aksesori hiasan jati

Daripada rekaan klasik hingga moden dan kontemporari, semuanya mampu menyerikan ruang kediaman mengikut gaya penataan yang diinginkan.

Sejak dulu perabot dan aksesori hiasan jati mempunyai ciri eksklusif dan mampu bertahan bertahun-tahun lamanya.

Kini ia ditawarkan dalam pelbagai pilihan dari segi corak atau motif dan rekaan.

Di ruang pameran, anda berpeluang untuk mendapatkan perabot dan aksesori hiasan jati yang didatangkan dengan ukiran serta kerawang unik.

Rekaan itu pula digandingkan dengan pelbagai material dan fabrik seperti kain atau kulit.

Ia adalah bagi menambah seri ruang dan keselesaan ketika menggunakan perabot itu.