Uruguay adu kes Cavani

Uruguay adu kes Cavani

SANTIAGO, 28 Jun (Reuters) – Persatuan Bola Sepak (FA) Uruguay membuat aduan rasmi terhadap bintang Chile, Gonzalo Jara kerana membuat provokasi ke atas Edinson Cavani dengan cara meraba punggung pemain itu pada aksi suku akhir Copa America, baru-baru ini.

Berikutan itu, Persekutuan Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) menerusi jawatankuasa disiplinnya akan menyiasat insiden berkenaan. FA Uruguay dalam kenyataannya semalam berkata: “Jawatankuasa eksekutif persatuan mengambil keputusan untuk membuat pembelaan terhadap Edinson Cavani. Terserah kepada CONMEBOL untuk mengambil tindakan terhadap Gonzalo Jara.”

Beberapa jam selepas itu, Persatuan Bola Sepak Chile turut membuat aduan dengan menuduh tujuh pemain Uruguay termasuk Cavani ‘menggunakan kekasaran dan mencaci’ beberapa pemain Chile serta pegawai perlawanan

Selepas insiden kurang ajar itu, beberapa pemain dan jurulatih dalam Copa America mengecam Gonzalo Jara yang berkelakuan tidak sopan terhadap penyerang Uruguay, Edinson Cavani dalam saingan suku akhir itu.

Insiden bodoh Jara (tiga kiri) yang menyebabkan Cavani (kanan) dilayangkan kad kuning kedua dalam aksi Copa America di Santiago 24 Jun lalu. – AFP
Insiden bodoh Jara (tiga kiri) yang menyebabkan Cavani (kanan) dilayangkan kad kuning kedua dalam aksi Copa America di Santiago 24 Jun lalu. – AFP

Jara menjadi tumpuan pengguna media sosial yang berasa jijik terhadap perbuatannya selepas gambar dan rakaman kamera cukup jelas menunjukkan dia memasukkan jarinya ke dubur Cavani dalam perlawanan yang menyaksikan Chile mencatat kemenangan 1-0.

Provokasi melampau itu telah menyebabkan Cavani dibuang padang selepas bintang Paris Saint-Germain (PSG) tersebut menepis muka Jara sebagai tindak balas.

Nasib Jara masih tidak diketahui selepas CONMEBOL semalam berkata, mereka akan membuat laporan pelanggaran disiplin terhadap Chile jika menerima aduan rasmi.

Namun, pemain dan jurulatih sebulat suara menyatakan bahawa insiden kurang ajar tersebut cukup menjijikkan, malah mereka turut bersimpati terhadap Edinson Cavani kerana smengharungi minggu yang sukar.

ARTIKEL YANG SAMA