Uruguay, Chile buat perhitungan

Uruguay, Chile buat perhitungan

LA SERENA, Chile, 22 Jun (AP) – Uruguay memilih laluan berliku dalam usaha mempertahankan kejuaraan Copa America apabila menempah pertemuan dengan tuan rumah, Chile pada suku akhir selepas menamatkan kempen Kumpulan B di tangga ketiga.

Keputusan seri 1-1 dengan Paraguay dalam perlawanan terakhir semalam menyebabkan anak-anak buah Oscar Tabarez gagal menamatkan kempen dalam kedudukan dua teratas, namun ia tetap memadai untuk membawa mereka ke peringkat lapan pasukan terbaik.

Argentina yang mengalahkan Jamaica 1-0 muncul juara Kumpulan A, manakala Paraguay di tangga kedua.

Dalam perlawanan di Stadium La Portada, Jose Maria Gimenez terlebih dulu meletakkan Uruguay di depan menerusi tandukan pada minit ke-29, namun Lucas Barrios berjaya menyamakan kedudukan, juga menerus tandukan hanya seminit sebelum tamat separuh masa pertama.

Kedua-dua pasukan berpeluang menambah gol pada babak kedua, namun ketiadaan penyudah menyebabkan tiada tambahan jaringan dihasilkan oleh Uruguay dan Paraguay.

Pemain Uruguay, Rodriguez diapit dua pemain Paraguay, Ivan Piris (kiri) dan Valdez dalam perlawanan Copa America di Stadium La Portada, La Serena, Chile, semalam. – Reuters
Pemain Uruguay, Rodriguez diapit dua pemain Paraguay, Ivan Piris (kiri) dan Valdez dalam perlawanan Copa America di Stadium La Portada, La Serena, Chile, semalam. – Reuters

“Walaupun seri sudah memadai buat kami untuk layak ke suku akhir, namun kedua-dua pasukan beraksi hari ini bukan untuk mencari keputusan seri atau kalah.

“Kami menyarung jersi skuad kebangsaan, ia adalah satu penghormatan, jadi setiap kali turun ke padang, misi kami hanya mencari kemenangan,” tegas Giminez.

Edinson Cavani tidak banyak menyumbang buat pasukan setakat ini, manakala ketiadaan Luis Suarez, yang digantung nyata memberi kesan terhadap permainan Uruguay.