Uruguay menang bergaya

Uruguay menang bergaya

MONTEVIDEO, 7 Sept – Edinson Cavani meledak dua gol bagi membantu Uruguay melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas Paraguay dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 zon Amerika Selatan, kelmarin.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu menjaringkan gol pada babak pertama dan kedua dalam aksi di Stadium Centenario itu.

Kemenangan itu adalah reaksi kepada gesaan dibuat jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez yang mahu anak buahnya kembali bangkit menebus kekecewaan susulan kekalahan 0-1 di tangan Argentina, Jumaat lalu.

Cavani membuka jaringan dengan rembatan dari jarak dekat pada minit ke-18 selepas berlari ke kiri memisahkan diri dari penyerang Barcelona Luis Suarez.

Cristian Rodriguez pula meledak gol kedua Uruguay ketika perlawanan babak pertama berbaki tiga minit.

Cavani meraikan jaringan semasa menentang Paraguay di Montevideo, kelmarin. – AFP
Cavani meraikan jaringan semasa menentang Paraguay di Montevideo, kelmarin. – AFP

Luis Suarez pula bangkit dengan menyempurnakan sepakan yang diperoleh pada masa tambahan babak pertama bagi membolehkan Uruguay mendahului 3-0 sebelum waktu rehat.

Sembilan minit selepas babak kedua bermula, gandingan Cavani dan Suarez terus membuktikan ketajaman jentera serangan Uruguay apabila penyerang PSG itu meledak gol kedua peribadi menerusi tandukan pada ke-54.

Kemenangan ini membolehkan Uruguay mengungguli kumpulan Amerika Selatan dengan 16 mata selepas lapan perlawanan. – AFP