Uruguay tak sabar tunggu Luis Suarez

Uruguay tak sabar tunggu Luis Suarez

MONTEVIDEO, 10 Feb – Uruguay tidak sabar untuk menerima kembali kepulangan penyerang mereka, Luis Suarez dalam bola sepak antarabangsa bulan depan selepas selesai penggantungan sembilan perlawanan kerana menggigit pemain lawan.

“Kami tunggu detik ini dan sekarang ia sudah tiba,” kata jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez yang tetap berpendapat bahawa hukuman itu adalah melampau.

Suarez digantung sembilan perlawanan antarabangsa selepas menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini pada kempen Piala Dunia di Brazil, 18 bulan lalu.

Penyerang 29 tahun itu akan membuat penampilan semula ketika Uruguay menentang Brazil di tempat lawan pada 25 Mac ini pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018, diikuti aksi dengan Peru pada 29 Mac.

“Suarez cukup penting dengan apa yang kami lakukan atas padang. Ini apa yang dia ada dan pastinya beliau adalah aset bagi pasukan ini. Pemain berkembang. Ketika masa berlalu dan keadaan berubah, potensi mereka juga berkembang.”

Kepulangan Suarez pasti menceriakan skuad Uruguay menentang Brazil untuk kelayakan Piala Dunia 2018 pada 25 Mac nanti. – Reuters
Kepulangan Suarez pasti menceriakan skuad Uruguay menentang Brazil untuk kelayakan Piala Dunia 2018 pada 25 Mac nanti. – Reuters

Uruguay menewaskan England dan Itali untuk layak ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia sebelum disingkirkan oleh Colombia, walaupun Suarez hilang daripada perlawanan tersebut.

Pasukan ‘biru langit’ itu telah memulakan kempen semasa kelayakan serantau yang kuat dan menduduki di tangga kedua di belakang Ecuador.

Semua itu berlaku semasa ketiadaan Suarez dan penggantungan dua perlawanan seorang lagi penyerang utama Paris Saint-Germain, Edinson Cavani.

Awal Januari lalu, Persekutuan Bola Sepak Sepanyol telah menggantung Suarez dua perlawanan dalam saingan Piala Raja Sepanyol kerana menghina pemain Espanyol.

Laporan pengadil perlawanan di Stadium Nou Camp yang berkesudahan Barcelona menang 4-1, berkata Suarez menghina pemain Espanyol di terowong menuju bilik persalinan selepas tamat perlawanan.

Dua pemain Espanyol ketika itu juga dilayangkan kad merah. Barcelona mengemukakan rayuan terhadap hukuman berkenaan tetapi ditolak dan Catalan menafikan dakwaan Suarez menghina pemain lawan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA