Urus buaya secara baik

Urus buaya secara baik

KUCHING, 2 Nov (Bernama) – Jabatan Hutan Sarawak mencadangkan status buaya yang hidup liar diturunkan daripada Lampiran 1 sekarang untuk menguruskan haiwan itu dengan lebih baik sekali gus memastikan konflik antara manusia dan buaya dapat ditangani.

Pengarahnya Sapuan Ahmad berkata langkah tersebut perlu berikutan populasi buaya di negeri ini semakin meningkat dan kadangkala memberi ancaman kepada penduduk setempat.

“Populasi buaya di negeri ini semakin bertambah berikutan sungai tidak lagi menjadi laluan utama pengangkutan kepada masyarakat.

“Pertambahan populasi ini mengakibatkan konflik antara manusia dan buaya berlaku menerusi kes serangan yang dilaporkan, oleh itu kita minta supaya buaya diturunkan daripada Lampiran 1 untuk menangani perkara tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Sapuan mewakili Jabatan Hutan Sarawak menandatangani memorandum persefahaman (Mou) Program Kesedaran Penanaman Pokok Bakau dan Spesies Lain Yang Sesuai di Persisiran Pantai dengan Fuji Xerox Malaysia yang diwakili Pengurus Besar Pemasarannya, Toru Nakazaki.