Urus jenazah mengikut syariat Islam

Urus jenazah mengikut syariat Islam

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Dalam usaha memberi pendedahan tentang cara pengurusan jenazah yang tepat dan seiring dengan syariat Islam serta mengikis fahaman yang merosakkan akidah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), semalam, telah mengungkayahkan Bengkel Pengurusan Jenazah.

Menurut kenyataan UNISSA, bengkel yang dikendalikan melalui Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) bersama Unit Keugamaan dan Kerohanian, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), ini juga diadakan bagi mendidik para mahasiswa dan mahasiswi supaya meneruskan tanggungjawab pengurusan jenazah terhadap keluarga, masyarakat dan juga negara.

Seramai 120 orang mahasiswa Tahun 2 UNISSA telah menyertai bengkel berkenaan yang berlangsung di Auditorium UNISSA.

Di awal bengkel, taklimat mengenai pengurusan jenazah telah disampaikan oleh Imam Masjid Kampung Pengkalan Batu, Haji Burhanuddin bin Haji Damit, yang antara lain menjelaskan tentang tanggungjawab orang Islam dalam menyempurnakan jenazah.

Menurut beliau, sebahagian umat Islam keliru bahawa penyempurnaan jenazah ini dipikul oleh imam-imam masjid atau para pengapai yang telah dilantik.

Peserta-peserta bengkel pengurusan jenazah perempuan.
Peserta-peserta bengkel pengurusan jenazah perempuan.

“Kekeliruan ini perlu diperbetulkan supaya tanggungjawab pengurusan Jenazah dilakukan secara bersama apatah lagi jenazah yang diuruskan itu adalah terdiri daripada ahli keluarga sendiri,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan perkara-perkara yang wajib dilakukan dalam pengurusan jenazah seperti memandikan, mengapankan, menyembahyangkan dan mengebumikannya, di samping penjelasan perkara-perkara khurafat dalam pengurusan Jenazah.

Kemudian, beliau membuat demonstrasi pengurusan jenazah kepada para mahasiswa, menggunakan replika patung dengan dibantu oleh Yang Di-Pertua MPP, Haji Muhammad Nuralif bin Haji Talib.

Manakala itu, demonstrasi pengurusan Jenazah kepada mahasiswi telah dikendalikan oleh Dayangku Dahsimah binti Pengiran Ismail, Dayang Norlila binti Mohammad, Dayang Norhidah binti Haji Alias dan Dayangku Noraidah binti Pengiran Salleh, pengapai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Bengkel diakhiri dengan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada pembengkel yang disempurnakan oleh Pengarah PPIB, Dr. Salah Sebouai.