Urus kewangan secara berkesan

Urus kewangan secara berkesan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Sebagai sebahagian daripada Program Akademi Industri Perniagaan (IBA) Darussalam Enterprise (DARe), dua lagi modul kewangan telah disampaikan hari ini, di Auditorium iCentre, Anggerek Desa.

Dalam kursus berkenaan, modul ‘Kepentingan Rekod Penyimpanan bagi Perniagaan Tempatan’ disampaikan oleh wakil Kementerian Kewangan dan ‘Pengurusan Wang yang Berkesan dan Cekap’ oleh wakil oleh Institut Akauntan Awam Bertauliah Negara Brunei Darussalam (BICPA).

Kementerian Kewangan telah diwakili oleh dua orang pegawai kewangan, iaitu Awang Fauzi bin Haji Samat yang menyentuh mengenai cukai, dan Dayang Siti Nur Quthairah binti Shah Jahan yang menyentuh mengenai penyimpanan rekod.

Dayang Siti Nur Quthairah mengongsikan bahawa dengan Perintah Rekod Penyimpanan (Perniagaan) 2015, perniagaan-perniagaan kini telah diwajibkan (mandatori) untuk mengekalkan rekod mereka yang berkuat kuasa pada 23 Jun 2015.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa sekiranya resit tidak dikeluarkan (contohnya membeli dari pasaran), peniaga masih perlu menyimpan rekod, kerana perintah berkenaan dapat digunakan kepada mana-mana perniagaan yang bertujuan untuk mendapatkan keuntungan.

Seramai lebih kurang 25 orang telah hadir bagi menyertai program berkenaan.
Seramai lebih kurang 25 orang telah hadir bagi menyertai program berkenaan.

Pembentangan kedua pula memberi tumpuan kepada cukai yang menghuraikan tentang pembaharuan cukai yang dikenakan bagi perniagaan di Negara Brunei Darussalam.

Pengurus Besar BICPA, Martina Tie telah membentangkan mengenai bidang-bidang penting yang ahli-ahli perniagaan perlu tahu apabila menyentuh mengenai pengurusan kewangan.

“Bagaimanakah anda tahu bila tempoh jualan terbaik anda? Anda tidak akan tahu sebab anda perlu mencatatnya terlebih dahulu sebelum anda mengetahuinya,” tekan Martina Tie ketika menyampaikan pembentangannya kepada para peserta IBA.

Akademi Industri Perniagaan DARe merupakan program pembelajaran dan perkembangan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam memulakan, menjalankan dan mengembangkan perniagaan.

Program berkenaan dibukakan kepada semua peringkat perniagaan bertujuan untuk membangunkan perniagaan yang lebih mapan di Negara Brunei Darussalam.

Mana-mana pihak yang berminat bolehlah mendaftar ke IBA dengan menghantar butir-butiran mereka ke e-mel dare@ei.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA