Urus sempadan secara baik

Urus sempadan secara baik

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Jabatan Imigresen Brunei Darussalam dan Malaysia telah mengadakan mesyuarat dua hala kali pertama yang berlangsung di Hotel V Plaza Kuala Belait, bermula 3 November dan berakhir hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Awang Azmi bin Haji Hafneh dan Timbalan Ketua Pengarah Imigresen, Jabatan Imigresen, Malaysia, Datuk Sakib bin Kusmi, serta dihadiri oleh para pegawai dari kedua-dua jabatan dan perwakilan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, mesyuarat berkenaan diadakan berasaskan persetujuan bersama di antara kedua-dua jabatan ketika Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal mengenai Kemudahan Pelancong Kerap (FTF) ke-12 dan Mesyuarat Empat Penjuru pada 4 hingga 6 Disember 2013 di Johor Bahru, Malaysia.

Pada mesyuarat berkenaan, kedua-dua belah pihak berbincang, bertukar-tukar pandangan, berkongsi maklumat dan amalan-amalan terbaik mengenai pengurusan sempadan dan perkara-perkara berkaitan dengan imigresen.

Ini termasuk mengenai status pelaksanaan FTF, penubuhan direktori titik perhubungan imigresen bagi ICQS, perkongsian maklumat mengenai pasport hilang dan dicuri serta pembangunan kapasiti.

Gambar ramai pegawai-pegawai kanan Jabatan Imigresen Brunei Darussalam dan Malaysia yang mengikuti mesyuarat itu.
Gambar ramai pegawai-pegawai kanan Jabatan Imigresen Brunei Darussalam dan Malaysia yang mengikuti mesyuarat itu.
Ketika sidang mesyuarat itu berlangsung.
Ketika sidang mesyuarat itu berlangsung.

Mesyuarat berkenaan telah didahului dengan mesyuarat Pasukan Teknikal mengenai FTF pada 3 November, di mana pasukan berkenaan telah melaporkan hasil mesyuarat berkenaan yang membincangkan statistik permohonan FTF bagi kedua-dua belah negara dan langkah ke arah pelaksanaan FTF.

Sebagai peningkatan ke atas pelaksanaan FTF, peringkat mesyuarat dua hala telah menubuhkan kumpulan kerja teknikal rasmi untuk membincangkan perkara itu dengan lebih mendalam.

Mesyuarat tersebut telah membincangkan bidang-bidang kerjasama yang akan memberi faedah kepada kedua-dua belah negara seperti pertukaran maklumat berkaitan dengan imigresen, yang akan membolehkan kedua-dua jabatan membantu operasi imigresen dengan efektif.

Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat berkenaan diadakan secara harmoni dan delegasi Malaysia telah menyampaikan penghargaan atas layanan mesra yang diberikan kerajaan Brunei Darussalam.

Mesyuarat Dua Hala Jabatan Imigresen Brunei Darussalam-Malaysia ke-2 akan diadakan pada pertengahan 2016 di Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA