Usah alpa dengan kedudukan

Usah alpa dengan kedudukan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Sikap mementingkan kedudukan dan anggapan bahawa sebagai pegawai kerajaan mereka mempunyai status berbeza daripada orang ramai, membuatkan sebahagian mereka hilang punca atau lupa sebab mengapa mereka sebenarnya wujud dan ‘makan gaji’ dengan kerajaan serta alpa akan kewajipan sebenar terhadap orang ramai.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Abdul Wahab bin Juned berkata, fahaman perkhidmatan awam itu sebahagian daripada kerajaan dan berada di strata yang tinggi dan tidak berasingan dengan pihak bukan kerajaan, adalah fahaman yang keliru serta tidak menguntungkan.

Ketika mengimbas kembali kefahaman terhadap makan gaji dalam perkhidmatan awam, beliau berkata, gaji yang diterima perlu dinilai mengikut nilai perkhidmatan di pasaran.

Ini kerana produktiviti terlalu lemah berbanding dengan kadar gaji yang tinggi, keadaan yang tidak seimbang akan mewujudkan kedudukan yang tidak berdaya tahan.

“Justeru perkhidmatan awam perlu kompetitif, bersaing dan mempunyai daya saing,” katanya semasa berucap pada Majlis Penutup Program Pembangunan Eksekutif Pegawai Kanan Kerajaan ke-22 serta Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai Kerajaan Peringkat Pertengahan ke-20 dan ke-21, hari ini.

Dato Paduka Haji Abdul Wahab menyampaikan sijil penyertaan kepada seorang peserta, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz.
Dato Paduka Haji Abdul Wahab menyampaikan sijil penyertaan kepada seorang peserta, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz.

Beliau turut menekankan bahawa pihak pengurusan dalam perkhidmatan awam perlu mencapai keberkesanan yang lebih tinggi untuk mengimbangi nisbah tenaga manusia yang tinggi berbanding keperluan, kerana senario itu boleh menyebabkan kedudukan yang kurang efisien.

Dengan tenaga manusia yang terlalu ramai, sewajarnya pencapaian Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) berlipat ganda keberkesanannya dan impak ke atas nilai TPOR akan lebih positif dengan jaminan perkhidmatan akan terus berubah dari satu tingkat persada kepada tingkat persada yang lebih tinggi lagi.

Menurut Dato Paduka Haji Abdul Wahab, jumlah tenaga manusia dalam perkhidmatan awam adalah satu aspek penting yang perlu dibawa ke tahap optimum.

“Semakin lama negara kita membangun, tanggungjawab dan komitmen kerajaan kian bertambah dan dalam keadaan ini peluang perlu kita ambil untuk menggunakan tenaga manusia yang sedia ada secara optimum,” ujarnya.

Seramai 73 peserta program berkenaan menerima sijil mereka hari ini.

Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai Kerajaan yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam bertujuan untuk meningkatkan kapasiti kepimpinan dan kewibawaan pegawai kanan kerajaan.