Usah jadi ‘penonton’ sahaja

Usah jadi ‘penonton’ sahaja

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Pengusaha ladang atau tanaman tempatan disarankan untuk sentiasa berusaha menjayakan ladang mereka sendiri atau dengan melibatkan keluarga serta penduduk kampung dan tidak hanya mengharapkan bantuan daripada pekerja asing untuk mengusahakan ladang berkenaan.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman berkata, pemberian tanah ladang atau tanaman oleh pihak kerajaan kepada peladang tempatan adalah dengan hasrat untuk membolehkan mereka berusaha membangunkan ladang berkenaan sebagai sumber ekonomi atau pendapatan serta menyumbang kepada ekonomi negara.

Tetapi jika mereka mengharapkan tenaga kerja asing yang sebenarnya mengusahakan dan menjual hasil ladang itu dengan pemilik ladang hanya mendapat hasil bulanan tanpa berusaha, ia bukan sahaja satu amalan yang merugikan tetapi adalah tidak sihat bagi perkembangan sektor pertanian negara dan juga pembangunan ekonomi.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatan ke Ladang Kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumapas, hari ini, Yang Berhormat Pehin berkata, mengusahakan ladang tanaman memerlukan komitmen daripada pihak peladang sendiri khususnya ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran perlu sebelum meraih kejayaan.

Dalam menangani cabaran itu, para peladang tempatan diseru untuk tidak terlalu cepat bergantung atau mendatangkan pekerja asing bagi menyertai dalam kegiatan mengusahakan ladang berkenaan.

Yang Berhormat Pehin melihat dengan lebih dekat dan diberikan penerangan mengenai usaha penanaman lada di ladang Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kampung Lumapas, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin melihat dengan lebih dekat dan diberikan penerangan mengenai usaha penanaman lada di ladang Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kampung Lumapas, kelmarin.

“Itulah tujuan kerajaan memberi tanah kepada penduduk untuk berkebun iaitu bagi penyertaan rakyat dan penduduk tempatan supaya sama-sama berkecimpung dalam pembangunan ekonomi negara ini,” ulas Yang Berhormat Pehin lagi.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa pihak kementeriannya menerima beberapa laporan berlakunya keadaan di mana sesebuah ladang itu yang dimiliki oleh warga tempatan diusahakan oleh warga asing dengan pemilik warga tempatan itu menerima hasil bulanan dan mereka hanya perlu menyelesaikan perkara berhubungan dengan buruh dan imigresen.

Beliau kesal dengan sikap pemilik ladang tempatan sedemikian kerana walaupun mereka mendapat hasil dapatan bulanan tetapi kesan jangka panjangnya adalah merugikan kepada negara khususnya kepada usaha pembangunan ekonomi negara dan juga melibatkan penyertaan generasi akan datang dalam usaha sektor pertanian serta juga peluang-peluang pekerjaan kepada warga tempatan yang tidak mempunyai pekerjaan.

Beliau memahami bahawa bagi mereka yang melakukan perkara itu, ia merupakan satu usaha yang menguntungkan iaitu mendapat pendapatan yang tetap tetapi tujuan kerajaan untuk sama-sama membangun ekonomi dengan penyertaan rakyat dan penduduk negara.

“Ironinya jangan sampai misalnya anak dan cucu yang bersama-sama di sana yang tidak mempunyai pekerjaan hanya menjadi penonton tetapi sepatutnya sama-sama turun untuk menjayakan dan menyertai perusahaan berkenaan.”

Perkara seperti itu merupakan satu perkara yang tidak sihat kepada ekonomi negara dan tidak sihat kepada jangka panjang pendudukan kita, ulas Yang Berhormat Pehin lagi.

Beliau berkata perkara itu bukannya bermaksud bahawa kita tidak mengalu-alukan penyertaan atau pelaburan langsung asing tetapi kita memerlukan ia dilaksanakan secara usaha sama (joint venture) dengan pengusaha tempatan.