Usah remehkan ungkapan Basmalah

Usah remehkan ungkapan Basmalah

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned menekankan mengenai kepentingan penggunaan amali atau praktikal penulisan iaitu tentang ungkapan-ungkapan Basmalah, Hamdalah, Syahadah, Selawat dan Salam.

Menurutnya, kalau bercakap mengenai ‘Islam Tulen’, perkara tersebut bukanlah perkara biasa atau remeh, tetapi satu tuntutan daripada Islam sendiri untuk dibuat dan ia adalah ajaran Islam tulen yang menjanjikan keberkatan.

Yang Berhormat Pehin menyatakan perkara ini semasa menyampaikan syarahan perdana pada Kuliah Ulang Tahun Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Sambutan Ulang Tahun Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS) ke-5 hari ini.

Menurut beliau, salah satu kelaziman yang ada bagi para mahasiswa adalah menyediakan laporan-laporan penyelidikan atau penulisan tesis.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Aziz menekankan kepentingan penggunaan amali atau praktikal penulisan ntang ungkapan-ungkapan Basmalah, Hamdalah, Syahadah, Selawat dan Salam.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Aziz menekankan kepentingan penggunaan amali atau praktikal penulisan ntang ungkapan-ungkapan Basmalah, Hamdalah, Syahadah, Selawat dan Salam.

Laporan atau apa jua kegiatan yang berbentuk penulisan ini tentu sahaja disyaratkan mesti mengikut panduan yang telah digariskan oleh pihak pengajian.

Apabila membaca buku-buku panduan ini dan lain-lain sejenisnya, Yang Berhormat Pehin merasakan masih ada kekurangan yang tidak termaktub dalam panduan-panduan itu.

Katanya, perasaan ini muncul mungkin kerana kesan daripada menemui perkara itu dalam kitab-kitab Turath, sedang dalam panduan-panduan kita tidak ada atau tercicir ungkapan-ungkapan Basmalah, Hamdalah, Syahadah, Selawat dan Salam itu. Secara peribadi, Yang Berhormat Pehin menyesali senario atau trend ini, seperti sahaja ia sudah menjadi piawaian yang tidak boleh lagi digugat-gugat.

Semua ini, katanya, bukan datang dan berasal daripada para ilmuan Islam tetapi daripada orang lain kerana para ilmuan Islam tulen tetap sahaja menulisnya dalam buku-buku dan kitab mereka, berbanding dengan para ilmuan mutakhir, seperti mereka itu sudah tidak berminat lagi untuk itu.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Pehin merakamkan ucapan tahniah kepada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) kerana, menurutnya, setakat ini hanya UNISSA sahaja dalam panduan penulisan tesisnya ada mensyaratkan menulis Basmalah.

Ungkapan-ungkapan ini, terutama Basmalah, menurut beliau, perlu ditulis terutama bagi pusat-pusat pengajian Islam dan penuntutnya kerana ia salah satu daripada ajaran ‘Islam Tulen’ yang perlu benar-benar dihayati, difahami falsafah dan hikmahnya.

Yang Berhormat Pehin berkata, umat Islam kini dikhuatiri berada dalam dilema, tidak terkecuali juga para ahli akademik dan pusat-pusat yang bernama pusat pengajian tinggi Islam, di mana mereka sedang mengalami ‘krisis keyakinan’.

Alasan Yang Berhormat Pehin, ujarnya, adalah dalam kita semua tahu akan harga Basmalah, tetapi oleh kerana kita ini sedang mengalami ‘krisis keyakinan’, maka kita tidak lagi peduli, biar tinggi mana pun harga itu dan walaupun ia sudah disebut dengan jelasnya oleh hadis malah dipakai sendiri oleh Nabi. Yang Berhormat Pehin lebih khuatir bilamana Basmalah hanya dianggap sebagai barang kuno atau lama yang boleh mengurangkan nilai tesis, mengurangkan nilai kertas kerja, dalam makna, Basmalah telah dianggap sebagai penyebab kepada kemunduran dan cacatnya karya-karya ilmiah.

Seramai 200 orang telah di jemput menghadiri Pidato Khas yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD terdiri daripada ahli-ahli akademik dalam semua bidang pengajian tinggi Islam dan pelajar ijazah tinggi yang sedang membuat sarjana dan PhD dari seluruh institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Dengan adanya program ini, ianya akan dapat menjadi pencetus dan perangsang kemajuan akademik Islam disamping mengharapkan agar ahli akademik dan pelajar akan dapat melihat isu-isu dalam pengajian Islam yang relevan dalam bidang masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA