Usah takut promosikan Islam

Usah takut promosikan Islam

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Dis – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, Islam adalah agama tertinggi yang menghulurkan kebajikan kepada siapa saja dan ia perlu terus dilihat dan dikenali sebagai agama terbaik.

Titah Baginda, jika terjadi sebarang keburukan, seperti jenayah dan lain-lain, maka itu bukanlah daripada ajaran Islam. Ajaran Islam adalah sebaliknya, sangat kuat memelihara darah, nyawa, keturunan, harta benda dan maruah.

“Kerana itu jangan takut mempromosi Islam, sebagaimana Allah sendiri mempromosinya di dalam Surah Aali ‘Emran ayat 19 tafsirnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam,” titah Baginda dalam perutusan khas sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tahun 1437H/2015M yang disiarkan secara langsung menerusi RTB malam ini.

Menurut Baginda, ini adalah promosi mutlak daripada Allah mengenai Islam.

“Ia sudah tidak boleh dipertikaikan lagi, kerana pengakuan ini bukannya daripada siapa-siapa melainkan daripada Allah sendiri.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah perutusan khas sempena Sambutan Maulud Nabi tahun 1437H/2015M. - Gambar Infofoto
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah perutusan khas sempena Sambutan Maulud Nabi tahun 1437H/2015M. – Gambar Infofoto

“Jika ada orang yang mahu menyangkalnya, maka itu adalah satu ‘keceluparan’ di sisi Maha Pencipta.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah, Islam selama-lamanya adalah benar, dan Islam selama-lamanya tidak pernah membuat sebarang kesalahan.

“Adapun yang bersalah itu ialah orang. Jadi yang dicela bukanlah Islam, tetapi patut dicela ialah siapa yang mencela Islam,” titah Baginda sambil menegaskan bahawa ini mustahak difahami oleh setiap individu, khasnya orang-orang Islam sendiri, supaya tidak berbangkit akan ada pihak-pihak yang keliru yang memandang serong kepada Islam.

Baginda Sultan bertitah, Islam tidak terlibat, atau sama sekali tidak boleh dilibat-libatkan dengan keburukan. Ia tetap ugama samawi, yang semata-mata hanya menjana kebaikan.

“Siapa yang mengenalkan semua ini kepada kita? Jawabnya tidak lain ialah Nabi Pesuruh Allah, Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam”, jelas Kebawah Duli Yang Maha Mulia lagi.

Oleh itu, sangatlah perlu Baginda itu dikenang selalu, untuk mengilhami kita meneruskan usaha-usaha suci memelihara Islam dan kesejahteraan sejagat.

Baginda Sultan bertitah, sebagai hamba Allah yang tahu menghargai nikmat Allah terhadapNya, maka kita sangatlah wajar bersyukur di atas limpah kurnia Allah mengutus Nabi-Nya Yang Mulia Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ke alam maya ini.

“Dengan kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, dunia ini telah bertukar rupa, dari gelap gelita kepada terang benderang. Jiwa buas manusia dapat dijinakkan menjadi lebih tenang dan bertimbang rasa.

“Inilah berkat kerasulan Nabi Muhammad selaku pelita dan rahmat. Baginda benar-benar menjadi rahmat kepada seluruh alam (Rahmatan Lil’aalamin). Inilah rahsia Allah mengutus Baginda.

“Kita yang menerima rahmat dan nikmat ini, tidak ada sebab untuk tidak memperingati hari keputeraan Baginda, selaku pembawa rahmat tersebut. Inilah namanya kita bersyukur sambil mengenang jasa,” titah Baginda lagi.

Baginda Sultan juga bertitah, orang yang bersyukur dan pandai mengenang jasa adalah orang baik, dan malah Allah sangat menyukai mereka. Lagipun apabila kita memperingati detik bersejarah ini, kita bukan mengisinya dengan perkara sia-sia, tetapi dengan perkara-perkara yang disuruh oleh ugama sendiri, seperti berselawat dan berzikir atau mengadakan majlis-majlis ceramah dan kuliah.

“Jadi kalau ada pendapat yang tidak bersetuju kita memperingati hari keputeraan Nabi dan lain-lain hari kebesaran Islam, seperti menyambut Awal Tahun Hijrah, adalah itu pendapat yang lemah.

“Beta terus mengingatkan, supaya jangan berhenti daripada melakukan amalan tradisi memperingati hari-hari kebesaran Islam, biarpun orang lain tidak melakukannya. Kita melakukan ini adalah sebagai usaha untuk memperkaya semangat kita sendiri dalam menjulang Islam di mata dunia, di samping mengambil manfaat daripadanya,” titah Baginda.

Pada mengakhiri titah Baginda berharap semoga dengan berkat niat baik kita ini, Brunei Darussalam akan terus dilimpahi dengan rahmat, berupa keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran.