Usaha bantu m...

Usaha bantu mangsa kebakaran

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Pemain-pemain golf tempatan boleh menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan bebanan mangsa kejadian kebakaran di Kampung Pandai Besi ‘A’ dan Kampung Lurong Dalam menerusi Kejohanan Golf Amal Kampung Ayer PWM yang akan berlangsung pada 22 Januari di Kelab Gold Pantai Mentiri.

Hasil kutipan daripada kejohanan golf amal berkenaan akan disumbangkan ke Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampung Pandai Besi ‘A’ dan Lurong Dalam di mana kejohanan amal itu dianjurkan oleh Persatuan Warganegara Malaysia dengan sokongan Kelab Golf Pantai Menteri.

Kejohanan itu diumumkan oleh Naib Presiden Sukan PWM, Ken Kho semasa sidang akhbar mengenai kejohanan berkenaan yang diadakan di Kelab Golf Pantai Mentiri, hari ini.

Turut hadir semasa sidang akhbar berkenaan ialah Presiden PWM, James Lee, Pengurus Besar Kelab Golf Pantai Mentiri, Haji Sani bin Haji Bakir dan Naib Pengerusi Kelab Golf Pantai Mentiri, Awang Sadi bin Mohd Yassin.

Kejohanan itu akan dijalankan menggunakan format sistem strokeplay di mana para peserta boleh memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk hadiah-hadiah bagi pukulan terus ke lubang bernilai kira-kira $33,000 termasuk sebuah kereta baru jenama Proton di lubang No .7. Manakala itu hadiah wang tunai $5,000 akan diberikan kepada mana-mana peserta yang berjaya mencatatkan pukulan terus ke lubang pada lubang No.9, No.13 dan No.16.

Ahli-ahli jawatankuasa penganjur kejohanan amal menunjukkan baju yang ditaja oleh Aewon bagi Kejohanan Golf Amal Kampung Ayer PWM.
Ahli-ahli jawatankuasa penganjur kejohanan amal menunjukkan baju yang ditaja oleh Aewon bagi Kejohanan Golf Amal Kampung Ayer PWM.

Penyertaan dalam kejohanan amal itu adalah terhad kepada 84 orang pemain golf di mana yuran pendaftaran adalah $80 bagi ahli Kelab Golf Pantai Mentiri dan $100 bagi bukan ahli.

Menurut Ken Kho lagi, hasil kutipan selepas ditolak dengan kos perbelanjaan akan dihulurkan untuk Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampung Pandai Besi ‘A’ dan Lurong Dalam.

Sementara itu, James Lee menyatakan penghargaan kepada pihak PWM di atas pelbagai kegiatan amal yang telah dikendalikan oleh persatuan berkenaan selama tempoh 25 tahun ditubuhkan termasuk kempen menderma darah, kerja-kerja amal serta kebajikan yang dilaksanakan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Pada masa yang sama, James Lee turut menyatakan penghargaan kepada Kelab Golf Pantai Mentiri dan para penaja yang terlibat untuk menjayakan kejohanan golf amal berkenaan.

Borang pendaftaran untuk mengambil bahagian dalam kejohanan golf amal itu boleh diperoleh di Kelab Golf Pantai Mentiri di mana tarikh tutup bagi mengembalikan borang yang lengkap adalah pada 17 Januari nanti.

Bagi mereka yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Ken Kho di talian 8717500 atau Chris Ng di talian 8194288.

ARTIKEL YANG SAMA