Usaha bantu masyarakat memerlukan

Usaha bantu masyarakat memerlukan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 7 Okt – Sebagai kesinambungan terhadap Program Sumbang dan Bantu, kali ini, Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) mengadakan Program Jelajah Sumbang dan Bantu Mukim ke Mukim di mana Mukim Kiudang dipilih sebagai destinasi pertama yang diadakan di Pusat Kemasyarakatan, Kampung Birau, Tutong, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat di acara tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam.

Di acara tersebut, Haji Adnan juga menyampaikan beg-beg sumbang dan bantu kepada penerima dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim, keluarga daif dan fakir miskin.

Program sehari itu memberikan kemudahan kepada masyarakat mukim dan kampung yang berkeinginan dan memerlukan pakaian-pakaian serta menyediakan “Drop Point Sementara” bagi orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan pakaian mereka.

Aktiviti kanak-kanak juga diadakan bagi memeriahkan lagi suasana serta memberikan keceriaan kepada mereka untuk menikmati manfaat program jelajah ini.

Pemangku Pegawai Daerah Tutong menyampaikan sumbangan pada program tersebut.
Pemangku Pegawai Daerah Tutong menyampaikan sumbangan pada program tersebut.

Program Sumbang dan Bantu mula diperkenalkan pada awal bulan Januari 2016 bersempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa dan ia telah pun mendapat sambutan yang menggalakkan yang mana SUKA telah menerima lebih 6,000 helai pakaian dan hampir lebih 5,000 pakaian telah diserahkan kepada yang memerlukan.

Selain itu, program seperti Program Bantu, Senyum dan Terima Kasih dan Program Ceriakan Aidilfitri yang dianjurkan oleh pihak SUKA juga mendapat sambutan dan pujian daripada orang ramai kerana membantu orang ramai khususnya masyarakat yang memerlukan pakaian.

Penduduk Mukim Kiudang berpeluang memilih baju-baju yang disumbangkan oleh orang ramai.
Penduduk Mukim Kiudang berpeluang memilih baju-baju yang disumbangkan oleh orang ramai.

Menurut salah seorang penduduk di Mukim Kiudang, Dayang Siti Maisarah binti Muhamad, 34, beliau berasa amat gembira kerana anaknya menerima sumbangan pakaian dan selaku keluarga yang memerlukan bantuan, mereka amat berbesar hati dengan sumbangan tersebut dan diharap sumbangan pakaian seperti ini perlu diperluaskan ke tempat-tempat lain kerana mungkin ada orang ramai juga memerlukan sumbangan seperti ini.

“Melalui program ini orang-orang kampung yang memerlukan berpeluang memilih pakaian secara percuma dan kebanyakan pakaian tersebut adalah seperti pakaian baru,” ujar beliau.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin memberikan sumbangan mereka, bolehlah menghantar terus ke Bangunan Sukarelawan Daerah Tutong, Jalan Sungai  Basong berdekatan dengan Radio Televisyen Brunei cawangan Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA