Usaha bantu p...

Usaha bantu pelajar kurang berkemampuan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Dengan hasrat untuk memastikan para pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan tidak ketinggalan dalam menuntut ilmu pendidikan, orang ramai tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan berupa barang peralatan sekolah semasa Projek Ikhlas 5.0 Sumbangan Barang Asasi Persekolahan 2017, anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM NBD), hari ini.

Menurut Pengarah C.A.R.E, PBSM NBD, Awang Isham Ismail, projek berkenaan itu dihasratkan untuk membantu serta meringankan bebanan pelajar dan murid yang kurang berkemampuan untuk kembali bersekolah pada permulaan tahun persekolahan 2017.

Projek Ikhlas 5.0, ulasnya lagi ketika ditemu bual di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, merupakan salah satu projek amal serta kemasyarakatan yang dikendalikan oleh persatuan itu untuk membantu golongan yang memerlukan.

Menurut beliau, sebelum mengadakan projek untuk membantu mengumpul sumbangan bagi pelajar yang kurang berkemampuan, persatuan berkenaan telah mengadakan projek kemasyarakatan dengan mengumpul sumbangan bagi membantu mangsa kebakaran di Kampong Ayer, baru-baru ini.

Sepanjang Projek Ikhlas 5.0, jelas Awang Isham, PBSM NBD, mengalu-alukan sumbangan infaq jariah barangan keperluan asasi persekolahan daripada orang ramai untuk membantu meringankan bebanan kembali bersekolah bagi lebih 100 orang murid dan pelajar dari Tahun 1 hingga Tahun 11 di seluruh negara yang terdiri dari kalangan kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Awang Isham berkata sambutan orang ramai bagi projek itu sungguh menggalakkan dan menyatakan penghargaan kepada semua penderma yang telah hadir untuk menyampaikan sumbangan mereka.
Awang Isham berkata sambutan orang ramai bagi projek itu sungguh menggalakkan dan menyatakan penghargaan kepada semua penderma yang telah hadir untuk menyampaikan sumbangan mereka.
Salah seorang ahli PBSM NBD mengasingkan dan menyusun barang-barang keperluan sekolah yang disumbangkan dalam Projek Ikhlas 5.0.
Salah seorang ahli PBSM NBD mengasingkan dan menyusun barang-barang keperluan sekolah yang disumbangkan dalam Projek Ikhlas 5.0.

Setakat ini, ulasnya, projek itu mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan di mana orang ramai tampil dengan pelbagai sumbangan keperluan asasi persekolahan yang diperlukan termasuk beg sekolah, pakaian seragam, alat tulis, buku kerja atau latihan, kasut dan songkok atau tudung, seawal pagi lagi.

Beliau juga berkata, pihak persatuan sedang membuat perbincangan dengan pihak yang berkenaan untuk mengenal pasti pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan untuk menyerahkan barang-barang sumbangan berkenaan, di mana ia akan dilakukan dalam masa yang terdekat.

Beliau juga berkata projek itu dilaksanakan untuk memberikan peluang kepada orang ramai menghulurkan sumbangan dan bantuan serta untuk memupuk sikap prihatin dan memeduli kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Usaha itu juga diharap dapat memupuk rasa tanggungjawab sesama manusia dalam menangani dan memberi ruang serta berpeluang untuk melahirkan generasi muda yang cerdik, pintar dan berpendidikan tinggi ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

Mengulas mengenai projek amal yang akan dikendalikan oleh PBSM NBD dalam masa terdekat, beliau berkata persatuan berkenaan mempunyai perancangan untuk mengendalikan pelbagai acara amal, berkebajikan dan kemasyarakatan sepanjang 2017 dan Projek Ikhlas 5.0 merupakan projek amal pertama tahun ini.

Pada masa yang sama, beliau ingin mengucapkan penghargaan kepada semua orang khususnya penderma yang hadir untuk menghulurkan bantuan bagi membantu kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan di mana sumbangan peralatan sekolah mereka itu setentunya akan menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk terus berusaha demi mencapai kejayaan dalam pendidikan.

Walaupun acara itu dikendalikan bermula dari pukul 9 pagi hingga 4 petang hari ini, ulas Awang Isham, pihaknya masih mengalu-alukan orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi Projek Ikhlas 5.0 dengan menghubunginya di talian 8804535.