Usaha bantu pembangunan belia

Usaha bantu pembangunan belia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Idea, dasar-dasar dan amalan terbaik yang diperoleh daripada perbincangan serta perkongsian pengalaman dengan belia-belia ASEAN diharap dapat diperkembangkan dan dilaksanakan dengan sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan untuk membantu dalam pembangunan belia negara.

Harapan itu dikongsi oleh Pegawai Pentadbir Tingkat I, Awang Azizul Azri bin Haji Majit, yang juga Ketua Rombongan Negara Brunei Darussalam ke Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN 2015 dalam temu bual bersama Media Permata, sebelum berlepas ke Kuala Lumpur, Malaysia, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Beliau berkata, semasa sidang kemuncak itu, para belia ASEAN akan membincangkan mengenai dasar-dasar belia dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan, kesukarelawanan serta isu-isu yang dihadapi oleh belia pada masa ini terutama belia ASEAN di mana dasar-dasar belia baru dipercayai akan dapat dirumuskan semasa sidang kemuncak itu nanti.

Dasar-dasar baru dan amalan terbaik itu nanti, ulasnya lagi, diharap dapat diperkenalkan di Brunei dalam membantu ke arah perkembangan belia negara, pada masa yang sama, untuk bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan yang berkenaan untuk mengembangkan serta melaksanakan dasar-dasar belia yang bersesuaian bagi pembangunan dan perkembangan belia.

Hajah Noor Maslina bergambar ramai bersama delegasi Negara Brunei Darussalam yang berlepas untuk menghadiri AYLS 2015 di Kuala Lumpur, Malaysia.
Hajah Noor Maslina bergambar ramai bersama delegasi Negara Brunei Darussalam yang berlepas untuk menghadiri AYLS 2015 di Kuala Lumpur, Malaysia.

Beliau juga berkata bahawa delegasi yang mewakili Negara Brunei Darussalam merupakan belia-belia yang terpilih daripada pelbagai bidang termasuk keusahawanan dan kesukarelawanan di mana mereka bukan sahaja akan mengongsi pengalaman dan idea dengan para peserta lain dari ASEAN tetapi akan mempelajari dan menimba ilmu pengetahuan yang boleh digunakan bagi memajukan golongan belia negara.

Awang Azizul Azri mengetuai rombongan seramai 10 orang ahli yang berlepas ke Kuala Lumpur, Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN (AYLS) 2015 yang akan diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) bermula esok hingga 20 November.

Wakil-wakil belia yang menyertai program itu terdiri daripada seorang pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan selaku ketua rombongan dan sembilan orang wakil dari Jabatan Perkhidmatan Awam, Kor Sukarelawan Profesional Muda ASEAN (AYPVC), Persatuan SCOT, Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd, Jabatan Buruh, Universiti Brunei Darussalam, Startup Hub@BIMP-EAGA, Maha Seramik Utama Enterprise dan SPHI Foods.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar kepada delegasi negara berkenaan ialah Ketua Pegawai Belia dan Sukan di Jabatan Belia dan Sukan, Hajah Noor Maslina binti Haji Sulaiman, pegawai-pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan serta ahli-ahli keluarga para delegasi.

AYLS 2015 yang membawa tema ‘Maximising Young Leaders Potential Towards One ASEAN Community’ diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 di mana persidangan berkenaan akan dihadiri oleh lebih daripada 300 orang ahli delegasi dari 10 buah negara anggota ASEAN, negara-negara rakan dialog ASEAN, organisasi belia serta wakil-wakil dari pelbagai organisasi.

ARTIKEL YANG SAMA