Usaha beriga akta barang purbakala

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Bagi meneruskan usaha memberigakan tentang Akta Barang-barang Purbakala dan Harta Terpendam 1967, edisi semakan 1984, 1991 dan 2002, Urus Setia Lembaga Muzium, Jabatan Muzium-muzium telah mengadakan taklimat mengenainya yang berlangsung di Dewan Teater, Pejabat Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

Taklimat dihadiri oleh para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Brunei dan Muara khususnya dari Mukim Lumapas, Mukim Pengkalan Batu, Mukim Sengkurong, Mukim Kilanas, Mukim Berakas ‘A’ dan Mukim Berakas ‘B’.

Turut hadir ialah ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon, selaku Penghulu Mukim Berakas ‘B’ dan Pemangku Ketua Kampung Sungai Hanching serta Kampung Salambigar; Pemangku Pengarah Muzium-muzium, Haji Mohamad Jefri bin Haji Sabli serta ahli-ahli Urus Setia Lembaga Muzium.

Taklimat telah disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Muzium-Muzium, Dayang Aminah binti Haji Majid juga selaku Kurator Arkeologi/Ketua Urus Setia Lembaga Muzium.

Antara tujuan taklimat berkenaan adalah untuk menghebahkan tentang akta berkenaan dan memberi penerangan mengenai bahan-bahan warisan budaya yang termasuk dalam perundangan berkaitan dengan benda-benda bersejarah, monumen dan tapak-tapak bersejarah di Negara Brunei Darussalam.

Para penghulu dan ketua kampung Daerah Brunei dan Muara hadir pada taklimat yang berlangsung di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
Dayang Aminah semasa menyampaikan taklimat Akta Barang-barang Purbakala dan Harta Terpendam dan penerangan mengenai bahan-bahan warisan budaya.

Kriteria utama dalam penilaian untuk pewartaan iaitu berusia lebih 50 tahun, mempunyai nilai sejarah, seni bina yang unik, memiliki nilai pembelajaran dan juga nilai ekonomi.

Peruntukan akta ini termasuk juga pewartaan tapak-tapak dan monumen-monumen bersejarah dan sehingga kini, sebanyak 37 monumen termasuk tapak-tapak dan makam-makam telah diwartakan iaitu 29 di Daerah Brunei dan Muara, empat di Daerah Tutong, dua di Daerah Belait dan dua di Daerah Temburong.

Selain itu, untuk melindungi dan memelihara monumen bersejarah dan purba, tapak-tapak arkeologi, tinggalan arkeologi dan barang-barang purbakala, akta berkenaan memperuntukkan lima perkara iaitu tiap-tiap bahan purba yang dijumpai di Negara Brunei Darussalam adalah menjadi hak mutlak kerajaan Brunei. Semua bahan purba yang ditemui sama ada di atas tanah atau terpendam dalam tanah atau terpendam di dasar sungai, tasik atau laut.

Sesiapa yang melanggar akta tersebut dikenakan hukuman penjara setahun atau denda $3,000 atau kedua-duanya.