Usaha Brunei dipuji

Usaha Brunei dipuji

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Reformasi dan usaha yang dilaksanakan oleh Negara Brunei Darussalam untuk menjana iklim perniagaan yang lebih kondusif serta memudahkan lagi pelaksanaan perniagaan dalam negara (ease of doing business) amat memberangsangkan dan mendapat pujian daripada pegawai-pegawai Bank Dunia.

Namun begitu, menurut mereka, ujian adalah bukan sahaja pelaksanaan reformasi atau inisiatif berkenaan tetapi untuk memberikan penerangan dan pendedahan kepada perubahan yang dilaksanakan kepada pengusaha dan sektor swasta supaya mereka dapat memberikan maklum balas serta memastikan bahawa mereka memahami akan kesan perubahan atau reformasi berkenaan terhadap mereka dan perniagaan mereka.

Perkara itu dijelaskan oleh Penganalisis Operasi dari Kumpulan Bank Dunia, Jean Arlet dan Edgar Chavez ketika ditemu bual oleh pihak media di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Jean dan Edgar telah berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan dan tinjauan mengenai reformasi, pembaharuan serta inisiatif yang dilaksanakan oleh negara untuk memperbaiki lagi dan menghasilkan iklim perniagaan yang lebih mesra kepada bukan sahaja perusahaan baru tetapi juga yang sedang membangun.

Jean Arlet (kiri) dan Edgar Chavez (kanan), dua orang penganalisis operasi daripada Kumpulan Bank Dunia yang kini berada di Negara Brunei Darussalam.
Jean Arlet (kiri) dan Edgar Chavez (kanan), dua orang penganalisis operasi daripada Kumpulan Bank Dunia yang kini berada di Negara Brunei Darussalam.

Semasa lawatan mereka selama lebih kurang seminggu, mereka berpeluang untuk mengadakan lawatan ke agensi-agensi kerajaan dan organisasi di Brunei untuk mendapatkan maklumat yang terkini mengenai dengan usaha untuk memperbaiki lagi ease of doing business negara.

Menurut Edgar, beliau yang pernah melawat Brunei pada 2015, amat gembira dengan usaha berterusan dan komitmen yang ditunjukkan oleh Brunei untuk terus membuat reformasi bagi memperbaiki iklim perniagaan di Brunei.

“Bagi saya, yang amat menggalakkan ialah Brunei telah membuat reformasi kepada bidang-bidang yang kurang memuaskan dahulu dan pada masa yang sama, turut memperbaiki lagi bidang-bidang yang sudah dikenal pasti baik.”

Usaha itu setentunya, ulasnya lagi, akan menjadikan iklim perniagaan di Brunei lebih kondusif bagi pembangunan perusahaan kecil dan sederhana tempatan.

Pada masa yang sama, Jean berkata bahawa keadaan ekonomi global terutama harga minyak yang menurun memberi kesan kepada negara-negara yang bergantung pada komoditi berkenaan seperti Brunei, namun beliau mengambil maklum usaha Brunei untuk mempelbagaikan ekonominya dan mengembangkan sektor perusahaan kecil dan sederhananya serta menggalakkan perkembangan sektor swasta.

Mereka turut menyatakan bahawa dalam melaksanakan reformasi, ia bukan sahaja dilihat dari segi jangka pendek tetapi juga dari jangka sederhana dan panjang, di mana visi yang dilaksanakan oleh pihak yang berkuasa serta reformasi yang dilaksanakan menjadi sebahagian daripada proses yang lebih besar ke arah memperbaiki lagi iklim perniagaan.

Edgar menjelaskan lagi perkara ingin diketengahkan dalam pelaksanaan perniagaan ialah untuk menggunakan amalan terbaik dalam menjalankan perniagaan di mana kejayaan sesebuah perniagaan itu bergantung pada jumlah amalan terbaik yang dilaksanakan atau dipraktikkan oleh perniagaan berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif dan reformasi yang dilaksanakan bagi memperbaiki iklim perniagaan, Jean dan Edgar sekali lagi menekankan bahawa dalam Ease of Doing Business, pembaharuan, inisiatif dan reformasi adalah amat penting tetapi tidak kurang pentingnya adalah untuk melibatkan penyertaan sektor swasta bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka mengenai dengan inisiatif yang dilaksanakan terutama untuk mengetahui yang mana berguna dan yang mana memerlukan pembaikan.

Mereka berkata bahawa perkara itu bukan unik bagi Brunei sahaja tetapi bagi semua negara di mana mereka harus mendengar maklum balas daripada sektor swasta dan mempunyai dasar yang lebih telus yang merupakan kunci kejayaan bagi menjana iklim perniagaan yang baik.

Menurut mereka lagi, edisi laporan Doing Business yang terbaru akan diterbitkan pada hujung Oktober nanti.

ARTIKEL YANG SAMA