Usaha Duterte perangi peniaga dadah terbukti berhasil

Usaha Duterte perangi peniaga dadah terbukti berhasil

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Langkah Presiden Filipina Rodrigo Duterte memerangi peniaga dadah di negara itu terbukti amat berkesan, walaupun belum sampai dua bulan beliau menyandang jawatan, kata jurucakapnya, Martin Andanar di sini.

Beliau mengaitkan kejayaan itu dengan “pendekatan amat tegas dan tidak bersifat ortodoks” yang diamalkan Duterte dalam menangani masalah dadah di Filipina, yang beliau sifatkan sebagai “teramat teruk”.

Andanar, yang juga Setiausaha Pejabat Operasi Komunikasi Presiden, berkata lebih setengah juta pengguna dan penjual dadah menyerah diri kepada kerajaan sejak Duterte mengangkat sumpah jawatan pada 30 Jun.

“Presiden kami mempunyai cara sendiri yang tidak bersifat ortodoks untuk menangani masalah ini, tetapi ia tetap berlandaskan perlembagaan Republik Filipina,” katanya kepada Bernama pada Isnin selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional itu, Datuk Seri Azman Ujang di Wisma Bernama.

“Presiden dan ketua polis Filipina memberi amaran kepada mereka yang dianggap sebagai peniaga dan raja dadah supaya tidak menghalang tugas polis selagi operasi yang dijalankan tidak melanggar sempadan undang-undang dan dibuat dengan mendapat kebenaran.

Andanar berkata sekurang-kurangnya 500 orang terbunuh dalam operasi pembersihan yang dilancarkan polis terhadap peniaga dadah apabila mereka cuba mengelak daripada ditangkap atau memilih untuk menentang polis.

Katanya lebih tiga juta rakyat Filipina menagih dadah.

“Bayangkanlah pula berjuta-juta lagi orang lain, terutama anggota keluarga mereka yang terjejas dengan lebih teruk apabila mereka menjadi penagih dadah,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA