Usaha jadikan Tutong Daerah Destinasi

Usaha jadikan Tutong Daerah Destinasi

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Jabatan Daerah Tutong

 

TUTONG, 30 Okt – Usaha terus dilaksanakan untuk menjadikan Daerah Tutong sebagai Daerah Destinasi menarik yang mempunyai khazanah budaya, sejarah dan keunikan masyarakatnya yang tersendiri sebagai tarikan bukan sahaja bagi pengunjung dari dalam negara tetapi juga dari luar negara.

Usaha untuk mencapai hasrat itu bakal menyaksikan pelbagai acara menarik yang akan diadakan sepanjang November ini sebagai salah satu inisiatif untuk memeriahkan lagi suasana di Pekan Tutong sekali gus meningkatkan kunjungan orang ramai ke daerah berkenaan.

Sehubungan itu, Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1437 dan Doa Selamat Sempena Acara-acara Kemasyarakatan Daerah Tutong telah diadakan kelmarin di Masjid Hassanal Bolkiah, Tutong yang dihadiri oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong serta ahli-ahli sukarelawan Daerah Tutong.

Majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Maghrib berjemaah dan seterusnya bacaan doa selamat dipimpin oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah Tutong, Awang Sahibol Omar bin Haji Mohd Yusof.

Awang Wardi yang menghadiri majlis berkenaan.
Awang Wardi yang menghadiri majlis berkenaan.

Majlis berkenaan juga diselajurkan dengan ceramah yang disampaikan oleh Haji Anwari bin Haji Rawee dan diteruskan dengan sembahyang fardu Isyak berjemaah.

Pada November ini, antara acara menarik yang akan diadakan di Daerah Tutong termasuklah Hari Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Etnik Daerah Tutong anjuran bersama Majlis Perundingan Mukim Pekan Tutong, Majlis Perundingan Mukim Keriam dan Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Alam Sekitar Taman dan Rekreasi (JASTRe) Tutong serta Jabatan Kemajuan Pelancongan yang akan bermula pada 2 hingga 29 November.

Acara-acara lain yang akan mengambil tempat sempena Hari Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Etnik Daerah Tutong berkenaan ialah Persembahan Malam Kebudayaan Etnik Daerah Tutong, Program ‘Kenali Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Etnik Daerah Tutong’ dan Car Boot Sale yang akan diadakan pada 6 hingga 8 November di Taman Rekreasi Sungai Basong.

Selain itu, juga akan diadakan ialah Pasar Malam Ria pada setiap bulan iaitu dari Khamis hingga Ahad di kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Tutong dan Food Con di Petani Mall.

Penganjuran acara-acara menarik sepanjang November itu, juga dihasratkan dapat mengangkat lima etnik Daerah Tutong yang mempunyai keunikan budaya yang tersendiri.

ARTIKEL YANG SAMA