Usaha jaga ke...

Usaha jaga keaslian warisan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 20 April – Dalam sama-sama menjaga keaslian dan khazanah warisan yang sudah lama tidak dipraktikkan secara rutin, Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Perjalanan Kebudayaan di Sekolah Rendah Pengiran Muda Mahkota, Kampung Penabai/Kuala Tutong, Daerah Tutong, pagi tadi.

Sebagai salah satu program bagi memberikan pendedahan kepada generasi muda dalam menghargai budaya, ia memperkenalkan dan memperlihatkan keunikan budaya masyarakat Melayu Brunei dari pelbagai sudut adat resam antaranya tarian, nyanyian, permainan tradisi dan pameran daripada puak-puak etnik dan asli Brunei.

Turut hadir ialah Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Haji Mohd Abdoh bin Haji Awang Damit.

Lebih 70 orang murid Pra hingga Tahun 6 telah menyaksikan program berkenaan yang turut dihadiri oleh Guru Besar sekolah berkenaan, Nomy Marsilla Maftasang.

Aktiviti berkenaan merupakan kesinambungan daripada projek promosi kebudayaan yang diadakan setiap tahun di keempat-empat daerah sejak tahun 2015 lagi.

Murid-murid berpeluang mencuba pakaian puak-puak Brunei pada acara tersebut.
Murid-murid berpeluang mencuba pakaian puak-puak Brunei pada acara tersebut.

Projek berkenaan menggunakan format persembahan, pameran dan bengkel dengan menyasarkan belia-belia, penuntut-penuntut sekolah, institut, badan-badan kerajaan dan persatuan-persatuan.

Ia antara lain bertujuan untuk menyalurkan informasi dan pengetahuan mengenai kebudayaan dan kesenian kepada masyarakat Brunei melalui gagasan ‘Entertainment’ iaitu hiburan pembelajaran ke arah membudayakan belia-belia di samping mempelajari dan berkongsi pengetahuan khususnya di bidang seni dengan matlamat memartabatkan dan memperkasa budaya bangsa dengan mendampingi dan mendekatkan budaya kepada masyarakat.

Antara objektif program adalah memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang kesenian melalui persembahan kebudayaan secara keseluruhan dengan hasrat memberikan kesedaran dan semangat mencintai budaya sendiri, meningkatkan kesedaran tentang menjaga khazanah warisan budaya dalam kalangan masyarakat di samping sebagai satu cara pendekatan dengan masyarakat melalui kebudayaan dan kesenian.

Antara aktiviti-aktiviti ‘Perjalanan kebudayaan’ adalah persembahan Instrumental Muzik dari Senandung Darussalam, penerangan mengenai kebudayaan, kuiz, demonstrasi tarian ‘Aduk-Aduk’, penerangan lagu Kanak-kanak Brunei, demonstrasi muzik Guriding dan Umpong serta beberapa pameran.

ARTIKEL YANG SAMA