Usaha keluarkan pelancong terkandas dipertingkatkan

Usaha keluarkan pelancong terkandas dipertingkatkan

KAHERAH, 8 Nov (AFP) – Moscow dan London sedang mempertingkatkan usaha untuk mengeluarkan beribu-ribu pelancong yang terkandas dari Sharm el-Sheikh hari ini, selepas Mesir berkata masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada sebutir bom telah menghempaskan sebuah kapal terbang Rusia.

Britain dan AS, serta penyiasat antarabangsa, mengesyaki sebutir bom meletup dalam kapal terbang Airbus beberapa minit selepas ia berlepas dari kawasan peranginan Laut Merah dalam penerbangan ke Saint Petersburg, membunuh kesemua 224 penumpang.

Rusia, yang kehilangan kebanyakan rakyat mereka dalam bencana itu, telah menghentikan semua penerbangan ke Mesir dan Britain dan menghentikan perjalanan udara ke Sharm, sementara beberapa negara lain telah mengingatkan rakyat mereka supaya jangan berkunjung ke kawasan peranginan itu disebabkan isu keselamatan.

Berpuluh ribu orang telahpun terkandas selama beberapa hari akibat tindakan yang diambil, yang dikhuatiri oleh warga Mesir akan memberi tamparan hebat kepada industri pelancongan mereka, yang telahpun terjejas oleh pergolakan bertahun-tahun lamanya.

Salah sebuah pesawat dari syarikat penerbangan EasyJet dilihat berada di Lapangan Terbang Larnaca semalam, bersiap sedia untuk membawa balik ribuan pelancong Britain dari Mesir, kata pihak berkuasa lapangan terbang. - AFP
Salah sebuah pesawat dari syarikat penerbangan EasyJet dilihat berada di Lapangan Terbang Larnaca semalam, bersiap sedia untuk membawa balik ribuan pelancong Britain dari Mesir, kata pihak berkuasa lapangan terbang. – AFP

Mesir telah mengetepikan satu dakwaan daripada pejuang jihad Negara Islam (IS) mengatakan mereka menembak jatuh kapal terbang itu, dan semalam ketua jawatankuasa siasatan berkata punca nahas masih tidak jelas.

Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry berkata risikan asing yang mencetuskan sekatan perjalanan antarabangsa tidak dikongsi dengan Kaherah.

Sumber di Perancis yang rapat dengan siasatan memberitahu AFP data kotak hitam memberi petunjuk kepada letupan bom dan kejatuhan Airbus secara tiba-tiba.

Perdana Menteri Britain David Cameron berkata sebutir bom “berkemungkinan besar” telah menyebabkan nahas berkenaan.