Usaha kembangkan kesusasteraan serantau

Usaha kembangkan kesusasteraan serantau

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Untuk mewujudkan wahana penyebaran disiplin kesusasteraan bandingan dalam konteks MASTERA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Brunei Darussalam pagi tadi mengadakan Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan (SKKB) ke-19, 2016 yang berlangsung di Dewan Sarmayuda, DBP, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Siri kuliah berkenaan adalah yang disepakati dalam Keputusan Umum Sidang ke-21 Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang memutuskan perlaksanaan kuliah diadakan di lima buah negara anggota MASTERA iaitu Singapura, Brunei, Malaysia, Indonesia, dan Thailand.

Ia merupakan projek MASTERA yang diadakan pada setiap tahun sejak tahun 1997.

Pemangku Pengarah DBP, Hajah Nortijah binti Haji Mohd Hassan dalam kenyataannya menjelaskan, tugas melaksanakan siri kuliah ini dipertanggungjawabkan kepada MASTERA Malaysia untuk MASTERA Brunei Darussalam, MASTERA Indonesia, MASTERA Singapura dan MASTERA Thailand.

“Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan tahun ini bermula di Singapura pada 27 Ogos 2016, Kemudian diikuti di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, seterusnya ke Indonesia pada 3 November, diikuti Thailand pada 7 November dan berakhir di Malaysia pada 10 November 2016,” ujarnya.

Pemangku Pengarah DBP ketika menyampaikan ucapannya.
Pemangku Pengarah DBP ketika menyampaikan ucapannya.
Antara ahli MASTERA yang hadir pada Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan ke-19 2016.
Antara ahli MASTERA yang hadir pada Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan ke-19 2016.

Lazimnya, Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan membicarakan penataran ilmu kepada para pengkaji/penyelidik dan karyawan di negara pendiri dan anggota MASTERA tentang kajian sastera bandingan.

Hajah Nortijah menambah, siri kuliah ini merupakan salah satu media merapatkan hubungan dan kerjasama kesusasteraan negara anggota dalam usaha memaju dan mengembangkan kesusasteraan serantau.

“Pada siri kuliah kali ini, pakar yang diundangkan lebih memfokuskan kepada Teori Pengkaedahan Melayu dan Prinsip Penerapannya yang disampaikan oleh Profesor Kesusasteraan Melayu di Universiti Malaya, Malaysia selaku Pakar MASTERA Malaysia, Profesor Datuk Dr Haji Hashim bin Awang.”

Beliau juga melahirkan harapan bahawa dengan adanya usaha dan inisiatif siri kuliah ini dapat memartabatkan dan melestari sastera Melayu ke peringkat Nusantara yang bukan sahaja sekadar berbentuk pemasyarakatan sastera, malah menyelaraskan kegiatan dan penyelidikan kesusasteraan Melayu/Indonesia secara bersepadu dan mengusahakan peluang-peluang bersama untuk para sasterawan memajukan bakat, penterjemahan, penerbitan, dan pengiktirafan terhadap pencapaian ilmu ciptaan sastera.

Terdahulu, SKKB Ke-19 2016, dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.

Antara objektif Siri Kuliah pada pagi ini adalah untuk memperoleh idea dan fikiran yang lebih bernas untuk memperkuat teori dan aplikasi kesusasteraan bandingan, menerbitkan bahan kuliah supaya dapat menjadi buku rujukan kesusasteraan Melayu khususnya dalam bidang kesusasteraan bandingan, dan memberi bimbingan dan pendedahan kepada pelajar, siswazah, penyelidik dan pengkaji sastera di Asia Tenggara untuk mendalami disiplin kesusasteraan bandingan.

ARTIKEL YANG SAMA