Usaha kolektif untuk pendidikan

Usaha kolektif untuk pendidikan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Pendidikan merupakan perkara paling berharga yang bukan sahaja merangkumi membaca, menulis dan mengira, malahan ia juga mengenai pemahaman bahawa kita saling berkaitan, membawa satu set tanggungjawab yang sebahagian besarnya adalah kolektif.

Ini bermakna pendidikan yang anda dapat dan cara anda menjalani kehidupan di dunia ini bukan untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain di seluruh dunia dan kita boleh lakukan apa sahaja untuk memajukan pemikiran tersebut. Apa yang pasti pendidikan merupakan hak seseorang dan dia perlu berbuat sesuatu mengenainya.

Kata-kata itu dikongsi oleh Ahli Bersekutu di Majlis Populasi Amerika Syarikat dan wakil belia di Jawatankuasa Pengemudian Peringkat Tertinggi bagi Inisiatif Pertama Pendidikan Global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang berasal dari Sierra Leon, Chernor Bah semasa menyampaikan ceramah di Persidangan Isu-isu Global Borneo (BGIC) Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) ke-12 yang memasuki hari ketiga hari ini di Pusat Persidangan Antarabangsa.

Manakala aktivis hak asasi manusia dari Philadelphia yang juga Pekempen Kanan Amnesti Internasional Amerika Syarikat, Jamira Burley mengatakan sejarah sudah membuktikan bahawa banyak perkara mustahil pada 20 tahun lalu, kini sudah pun berlaku di seluruh dunia.

Chernor Bah (kanan) dan Jamira Burley (tengah) ketika forum berkenaan sedang berjalan.
Chernor Bah (kanan) dan Jamira Burley (tengah) ketika forum berkenaan sedang berjalan.

Menurutnya, segala-galanya kelihatan mustahil sehinggalah ia dilakukan, kerana ia semuanya terletak pada individu untuk menjadikannya satu kenyataan, bukannya bergantung pada orang lain atau pemimpin dunia.

Ia juga memerlukan usaha kolektif dan apabila bersatu, ia tidak akan mustahil bagi kita memainkan peranan kita di mana sahaja kita berada di dunia ini, tambahnya.

Chernor dan Jamira diundang untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka pada persidangan itu. Selain itu, mereka juga berkongsi perjuangan mereka ke arah menjadi diri mereka sekarang serta berkongsi anekdot dan pengalaman kepada pelajar ISB.

Persidangan yang bertemakan ‘Mencapai Pendidikan Asas Universal’ (To Achieve Universal Primary Education) itu juga diisi dengan soal jawab antara jemputan dan audiens.

Persidangan yang berlangsung selama empat hari tersebut akan berakhir esok, 4 Mac 2016, dengan Perhimpunan Agung yang akan membahaskan resolusi yang dicadangkan.

ARTIKEL YANG SAMA