Usaha kurangi jenayah curi

Usaha kurangi jenayah curi

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 21 Sept – Dalam usaha bagi mengurangkan kadar jenayah terutamanya kes kecurian dalam rumah, Daerah Polis Tutong membuat strategi meninjau ke rumah-rumah yang dibiar lama kosong dan memohon supaya para penghuni rumah supaya akan dapat memaklumkan kepada ketua kampung bahawa rumah mereka tidak berpenghuni.

Menurut analisa perangkaan daripada statistik kadar jenayah Daerah Polis Tutong pada bulan Jun, terdapat peningkatan kadar jenayah terutama kes kecurian di dalam rumah.

Antara faktornya ialah rumah yang ditinggalkan kosong dalam tempoh enam bulan dan lama ditinggalkan menjadi sasaran pencuri dan kejadian ini sering berlaku ketika waktu pagi dan hanya disedari oleh penghuninya setelah dikunjungi pada waktu petang.

Ini dinyatakan oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Kanan Samsulnahar bin Haji Idris semasa menyampaikan taklimat mengenai perkembangan pengawasan kejiranan dan mengongsikan permasalahan yang menjurus kepada keselamatan dan kesejahteraan setiap kampung.

Dalam taklimat tersebut, Inspektor Kanan Samsulnahar turut berpuas hati dengan sambutan dan penglibatan penduduk kampung dalam pengawasan kejiranan bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan di kampung masing-masing.

ASP Ramzi Hayatina menyerahkan sijil Pengawasan Kejiranan kepada salah seorang ketua kampung di Daerah Tutong.
ASP Ramzi Hayatina menyerahkan sijil Pengawasan Kejiranan kepada salah seorang ketua kampung di Daerah Tutong.
Pasukan Polis Diraja Brunei cawangan Balai Polis Tutong bergambar ramai bersama ketua-ketua kampung yang terlibat.
Pasukan Polis Diraja Brunei cawangan Balai Polis Tutong bergambar ramai bersama ketua-ketua kampung yang terlibat.

Pihak polis juga mengalu-alukan penduduk atau orang ramai yang berkeinginan menjadi ahli Pengawasan Kejiranan terutama bagi beberapa buah kampung yang belum mendaftarkan ahlinya.

Sejak pengaktifan semula pengawasan kejiranan, beberapa aktiviti telah dapat diungkayahkan bersama seperti operasi pencegahan jenayah di kampung-kampung, kunjungan ke institusi kerajaan, aktiviti keugamaan dan aktiviti sukan.

Sebanyak 206 sijil ahli Pengawasan Kejiranan diserahkan kepada 12 buah kampung melalui ketua kampung masing-masing di Daerah Tutong pada Majlis Perjumpaan Suku Tahun Kedua dan Ketiga bersama Pasukan Polis Diraja Brunei yang diadakan di Bilik Gerakan Balai Polis Tutong. Majlis Penyerahan Sijil Pengawasan Kejiranan kepada 12 buah Kampung di Daerah Tutong telah disampaikan oleh Pegawai Jenayah Daerah Polis Tutong, ASP Ramzi Hayatina bin Dato Seri Setia Haji Ibrahim.

Kampung-kampung yang menerima surat lantikan tersebut ialah Kampung Luagan Dudok, Kampung Bukit Panggal, Kampung Danau, Kampung Bukit Beruang, Kampung Lubuk Pulau, Kampung Layong, Kampung Panchong, Kampung Bukit, Kampung Menengah, Kampung Lamunin, Kampung Kiudang dan Kampung Merimbun.

ARTIKEL YANG SAMA