Usaha lahirkan syarikat bertaraf dunia

Usaha lahirkan syarikat bertaraf dunia

KUCHING, 4 Ogos – Kerajaan negeri Sarawak bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk menubuhkan inkubator teknologi dalam usaha melahirkan syarikat bertaraf dunia, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datuk Len Talif Salleh.

Len yang juga Menteri Muda Alam Sekitar Negeri berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Unimas untuk meneroka cara-cara baharu untuk membina pengetahuan dan kemahiran melalui ICT. Beliau berkata, kerajaan negeri juga mempunyai program inkubator hasil kerjasama dengan iCube dalam program keusahawanan, bukan sahaja dengan memanfaatkan ICT tetapi dalam semua bidang. “Ini sesuatu yang kita boleh bekerjasama dengan Unimas,” kata Len dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa ke-9 mengenai IT di Asia (CITA 2015) di sini hari ini.

Pada sidang media yang sama, naib canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata Unimas kini mempunyai sebuah pusat baharu dikenali sebagai “Unimas Engage” yang khusus mengkaji aspek penglibatan dengan industri dan masyarakat. Beliau berkata di bawah program “Unimas Engage”, universiti menggalakkan penubuhan program inkubator yang akan menggunakan kepakaran dari universiti dan juga pelajar dan kakitangan universiti.

Dr Mohamad berkata, di bawah program itu, Unimas akan bergabung dengan industri dan menawarkan sokongan teknikal manakala industri akan mengemukakan idea-idea dan dana amanah.

“Bersama-sama kami menggabungkan apa sahaja idea yang kami fikir dapat membantu potensi pada masa akan datang di universiti. Jadi apabila mereka berjaya mereka boleh melangkah keluar dari universiti sebagai syarikat yang berjaya,” kata beliau.

Beliau berkata, Unimas akan melibatkan diri dengan industri dan bekerjasama untuk memanfaatkan hasil penyelidikan sebagai produk pasaran dalam semua bidang. Unimas kini mempunyai lima institut dan 15 pusat penyelidikan di universiti dan sedang mengkaji pelbagai aspek bagi penyelidikan meliputi ubat-ubatan, ekonomi dan perniagaan.