Usaha laksana ekosistem perniagaan lebih kompetitif

Usaha laksana ekosistem perniagaan lebih kompetitif

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Negara Brunei Darussalam khususnya pihak-pihak yang berkenaan sedang berusaha untuk menjana ekosistem perniagaan yang kompetitif setanding dengan negara-negara jiran kerana diakui pada masa ini, kos untuk melakukan perniagaan di Brunei adalah tinggi berbanding dengan negara luar.

Kos perniagaan termasuk kos bagi mengimport dan caj pelabuhan yang tinggi merupakan antara isu yang dikemukakan semasa Sesi Dialog Darussalam Enterprise (DARE) bersama Dewan Perniagaan India yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, kelmarin.

Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar dalam sesi dialog itu berkata bahawa memang diakui bahawa kos untuk melakukan perniagaan di Brunei adalah tinggi tetapi pihak kerajaan dan agensi-agensi yang berkenaan sedang berusaha untuk melaksanakan dan memperkenalkan perubahan untuk menjadikan suasana perniagaan di Brunei lebih kompetitif iaitu setanding dengan negara-negara jiran.

Baru-baru ini, pihak kerajaan telah mengurangkan sebanyak 36 peratus daripada caj sarat bagi import dan eksport kontena dan ia merupakan salah satu usaha awal untuk menjana suasana perniagaan yang lebih kompetitif.

Namun, jelas Yang Berhormat Pehin, banyak lagi pembaharuan akan dilaksanakan di masa terdekat untuk membantu semua perniagaan di Brunei bagi sama-sama menerima manfaat daripada sebuah ekosistem perniagaan yang lebih efisien.

Yang Berhormat Pehin memberikan penerangan kepada ahli Dewan Perniagaan India semasa sesi dialog itu.
Yang Berhormat Pehin memberikan penerangan kepada ahli Dewan Perniagaan India semasa sesi dialog itu.

Dalam menjana ekosistem perniagaan yang efisien dan kompetitif, Yang Berhormat Pehin juga menasihatkan semua peniaga dan usahawan tempatan atau yang berniaga di Brunei termasuk peniaga-peniaga daripada Dewan Perniagaan India untuk tidak sahaja melihat kepada berniaga di dalam negara sahaja kerana dalam dunia moden, tiada lagi batasan pasaran bagi perniagaan mereka.

Dengan perkembangan teknologi canggih, terdapat banyak peluang perniagaan bagi mereka untuk meneroka dan pasaran bagi mereka bukan terhad kepada pasaran Brunei, Borneo atau serantau sahaja tetapi juga pasaran dunia.

Dalam sesi dialog itu juga, satu perkara yang diketengahkan ialah isu mengenai perkembangan sektor pelancongan dan untuk menarik minat pelancong luar negara bagi berkunjung ke Brunei.

Semasa dialog itu, ahli panel telah mendengar penjelasan daripada ahli Dewan Perniagaan India mengenai caj stopover yang dikenakan di mana caj berkenaan boleh tidak menggalakkan orang untuk membuat lawatan singkat ke Brunei sebelum meneruskan perjalanan mereka ke negara destinasi.

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa sektor pelancongan merupakan salah satu sektor yang dilihat berpotensi tinggi untuk dimajukan bagi mengembangkan lagi ekonomi negara.

Beliau amat tertarik dengan penjelasan yang diberikan itu dan menyatakan akan mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkenaan mengenai caj stopover yang dikenakan itu dengan harapan untuk meningkatkan jumlah pengunjung melawat ke Brunei.

Di antara ahli-ahli Dewan Perniagaan India yang menghadiri sesi dialog berkenaan.
Di antara ahli-ahli Dewan Perniagaan India yang menghadiri sesi dialog berkenaan.

Dalam hubungan itu juga, Yang Berhormat Pehin berharap untuk menjadikan kos melakukan perniagaan di Brunei lebih kompetitif dan sekali gus boleh menjadikan kos import turun di mana ia memberikan kesan kepada pengurangan harga barang yang dijual di Brunei.

Beliau berkata bahawa barangan yang dijual di Brunei adalah berkualiti dan jika kos import boleh dikurangkan, barang-barang berkenaan boleh dijual pada harga yang kompetitif dan ini setentunya akan menggalakkan lagi ramai pelawat ke Brunei bukan sahaja untuk melancong dan melawat ke tempat-tempat menarik di Brunei tetapi juga membeli-belah di Brunei.

Dalam sesi dialog itu, ahli-ahli panel memberikan jaminan bahawa semua isu yang diketengahkan akan diteliti dan dibawa kepada pihak yang berkenaan untuk ditangani bersama supaya ia dapat membantu untuk memperbaiki lagi ekosistem perniagaan di Brunei.

Di akhir sesi dialog itu, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa hasrat utama semua pembaharuan dan usaha yang dilaksanakan adalah untuk memastikan semua pengusaha, usahawan dan peniaga dapat melakukan peniagaan mereka dengan baik di Brunei, meraih keuntungan dan memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Daripada dialog itu, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa terdapat tiga perkara utama yang boleh diketengahkan iaitu kerja keras, memberikan pandangan dan maklum balas yang konstruktif di mana cadangan yang dikemukakan adalah bermanfaat kepada semua peniaga dan bukannya bagi kepentingan individu sahaja kerana semua itu akan membawa manfaat kepada semua rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Beliau juga percaya bahawa masih lagi terdapat banyak peluang yang ada di Brunei untuk mereka yang rajin atau sanggup bekerja keras dan banyak perubahan telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi membantu menjana ekosistem perniagaan yang kompetitif.

ARTIKEL YANG SAMA