Usaha lindungi kejiranan diteruskan

Usaha lindungi kejiranan diteruskan

Oleh Hajah Saemah Kepli dan Anwar Rosly

 

SERIA, 18 Okt – Operasi Pencegahan Jenayah Gabungan yang melibatkan sembilan orang anggota polis Balai Polis Seria dan 22 orang jawatankuasa Pengawasan Kejiranan Kampung Lorong Tiga Seria baru-baru ini telah diteruskan lagi, di sini.

Bagaimanapun, tiada sebarang aktiviti jenayah ditemui ketika operasi itu dijalankan yang menumpukan sekatan jalan raya di kawasan Jalan Raja Isteri menuju ke Kampung Baru Seria, selebihnya operasi rondaan berjalan kaki dan menggunakan kenderaan di sekitar kawasan Perumahan Kampung Baru Seria.

Operasi yang diketuai oleh OCS Balai Polis Seria Penolong ASP Mohd Zulhelmi bin Dato Paduka Haji Abd Aziz itu bermula kira-kira pukul 9:00 malam dan dilaporkan berakhir sekitar pukul 12:00 tengah malam.

Turut serta dalam operasi tersebut ialah Ketua Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Lorong Tiga Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim dan Pengerusi Ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panaga 2000, Haji Hassan bin Tuah.

Pemeriksaan sekatan jalan raya ketika operasi tersebut dijalankan.
Pemeriksaan sekatan jalan raya ketika operasi tersebut dijalankan.

Sementara itu, lapan anggota dari Balai Polis Kuala Belait turut mengadakan operasi rondaan pencegahan jenayah bersama dengan lapan ahli Pengawasan Kejiranan RPN Kampung Pandan C baru-baru ini.

Operasi yang bermula dari jam 10:45 malam semalam hingga 1:15 tengah malam membabitkan rondaan di beberapa kawasan dari Jalan Pandan 8 hingga ke kawasan X-10, diketuai oleh Pemangku Pegawai Penguasa Balai Polis Kuala Belait ASP Ronnie @ Eric Chin.

Turut menyertai operasi tersebut ialah Ketua Kampung Pandan C iaitu Haji Affandy bin Haji Awang Damit.

Sepanjang rondaan dibuat tidak ada sebarang kesalahan jenayah dijumpai.

Menurut Haji Affandy tujuan utama operasi dijalankan adalah untuk memata-matai keselamatan jiran dan penduduk kampung demi menjaga keamanan keselamatan dan kesejahteraan persekitaran, dan juga untuk mencegah kegiatan jenayah pecah rumah dan curi.

Selain itu, ia adalah untuk mendidik orang ramai supaya lebih berhati-hati terutama semasa berada di jalan raya,
dan memastikan kenderaan yang digunakan dalam keadaan yang sentiasa mengikuti peraturan yang telah ditetapkan, di samping untuk mengurangkan kes-kes kecurian atau pecah rumah dan pelbagai kegiatan jenayah lainnya di persekitaran kawasan khususnya di Daerah Belait ini.

ARTIKEL YANG SAMA