Usaha majukan sektor pelancongan

Usaha majukan sektor pelancongan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 18 Mei – Sebagai usaha untuk melonjakkan industri pelancongan di Daerah Tutong, lima orang yang terdiri daripada ahli majlis perundingan mukim dan kampung, golongan profesional, ahli perniagaan dan individu yang mempunyai berkebolehan dan kemahiran telah dilantik menjadi ahli Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan daerah berkenaan.

Penyerahan surat lantikan telah diadakan di Jabatan Daerah Tutong, petang tadi, dan disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam selaku tetamu kehormat. Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit.

Ketua Pegawai Eksekutif, Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali dalam ucapannya berkata, badan ini akan sentiasa komited melaksanakan tanggungjawabnya termasuklah menyediakan logo yang diberi nama ‘Tutong Destination’ agar lebih dikenali ramai dan mempunyai nilai komersialnya yang tersendiri.

Sejak penubuhan ‘Tutong Destination’ pada 31 Ogos 2015 yang lalu dengan kerjasama padu daripada Bahagian Korporat Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Kemajuan Pelancongan dan rakan-rakan strategik lain, badan ini telah pun mengungkayahkan beberapa aktiviti dan acara yang mampu meningkatkan jumlah pengunjung dan pelawat ke Daerah Tutong.

Pemangku Pegawai Daerah Tutong ketika menyampaikan surat lantikan kepada ahli Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong.
Pemangku Pegawai Daerah Tutong ketika menyampaikan surat lantikan kepada ahli Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong.
Bergambar ramai bersama ahli Badan Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong.
Bergambar ramai bersama ahli Badan Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong.

Antara aktiviti tersebut ialah Lawatan Business Matching Tutong Destination dengan ejen-ejen pelancongan Negara Brunei Darussalam; mengadakan Hari Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Etnik Daerah Tutong; aktiviti-aktiviti lawatan Destinasi Tutong melalui Pakej City Tour, Tutong Cottage Industry Tour, Back to Nature, Tutong River Cruise dan lain-lain; bengkel dan kursus Tour Guide Tutong Destination dan Tutong Earth Hour 60 bagi tahun 2016.

Badan ini juga telah menubuhkan Syarikat Pengurusan dan Pelancongan Destinasi Tutong pada 4 November lalu yang bertujuan bagi memantapkan produktiviti dan kualiti produk serta perkhidmatan agar dapat digerakkan dengan efisien dan efektif.

Dengan tertubuhnya syarikat berkenaan, badan ini mampu mengembang majukan lagi perkhidmatannya. Antaranya ialah penubuhan laman sesawang www.tutongdestinations.com yang berkonsepkan ‘1 Stop Website’ yang menyediakan beberapa informasi, tempahan dan pembelian secara dalam talian (online).

Selepas majlis penyampaian surat lantikan, tetamu kehormat seterusnya menyaksikan pameran produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong.