Usaha memperkasakan kawasan Tanjung Manis

Usaha memperkasakan kawasan Tanjung Manis

TANJUNG MANIS, Sarawak, 3 Ogos (Bernama) – Lebih banyak kemudahan prasarana akan dibina di Tanjung Manis menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) berikutan penyusunan semula pelan pembangunan kawasan pelabuhan bersepadu itu.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, ini bagi menyokong rancangan pembangunan industri kawasan tersebut.

Antara pembangunan itu termasuk pusat pentadbiran Tanjung Manis, projek perumahan, tapak industri perkapalan, kluster industri perabot serta jalan raya tambahan.

“Saya berharap peruntukan mencukupi akan disalurkan dalam RMK-11 itu bagi pelaksanaan projek-projek yang dapat memperkasakan Tanjung Manis sebagai pusat pertumbuhan ekonomi penting di Wilayah Tengah Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian negeri itu berkata demikian semasa Majlis Pecah Tanah Projek Kemudahan Simpanan Pukal Minyak Kelapa Sawit Tanjung Manis di Kluster Industri Minyak Sawit (POIC), yang disempurnakan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, di sini, hari ini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah.

Awang Tengah menjelaskan, pembangunan industri itu juga dijangka dapat mengoptimumkan operasi pelabuhan kendalian Tanjung Manis Integrated Port Sdn

Bhd, anak syarikat Pusaka Capital Sdn Bhd sambil menambah kapasiti prasarana pelabuhan Tanjung Manis itu juga dipertingkatkan daripada 60,000 TEU kepada 230,000 TEU, setahun.

Sarawak juga, katanya, menyasarkan pelaburan tidak kurang RM300 juta untuk POIC Tanjung Manis.

POIC yang dibangunkan menerusi peruntukan lebih RM135 juta daripada kerajaan persekutuan, disifatkan sebagai strategik bagi aktiviti hiliran kelapa sawit berikutan 40 peratus Wilayah Tengah negeri itu ditanam dengan komoditi berkenaan.

Mengulas projek kemudahan simpanan pukal minyak kelapa sawit itu, Awang Tengah berkata, ia dibangunkan oleh Tanjung Manis Bulker Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama Pusaka Capital dan KTS Group melibatkan pelaburan kira-kira RM70 juta.

Fasa pertama projek itu merangkumi kemudahan penyimpanan pukal minyak sawit mentah berkapasiti maksimum 64,000 tan metrik yang dijangka siap pada suku ketiga 2016 manakala fasa kedua melibatkan kemudahan pemprosesan dan penapisan minyak sawit mentah berkapasiti 1,200 tan metrik sehari manakala fasa ketiga merangkumi industri hiliran oleo-kimia sawit yang disusuli pelaksanaan industri hiliran nilai tambah lain.