Usaha memulihkan hubungan yang retak

Usaha memulihkan hubungan yang retak

ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

 

KETIDAKJUJURAN dalam sebuah perhubungan sering menjadi punca kepada aspek perbalahan sekiranya perkara negatif itu berlarutan.

Justeru, isu tersebut yang dihadapi oleh Do Hyun Woo lakonan Lee Sun Kyun dalam siri My Wife’s Having an Affair this Week yang diarahkan oleh Kim Suk Yoon.

Drama bersiri, My Wife’s Having an Affair this Week ini merupakan sebuah drama yang diinspirasikan daripada sebuah drama Jepun dengan judul yang sama di mana ia pernah ditayangkan di Fuji TV pada tahun 2007.

Dalam siri drama My Wife’s Having an Affair this Week ini, Lee Sun Kyun akan digandingkan bersama dengan seorang pelakon cantik, Song Ji Hyo.

Selain itu, nama-nama popular seperti BoA, Kim Hee Won, Lee Sang Yeob, dan Ye Ji Won juga turut membintangi siri drama My Wife’s Having an Affair this Week ini.

My Wife’s Having an Affair this Week dibintangi oleh Lee Sun Kyun dan Song Ji Hyo.
My Wife’s Having an Affair this Week dibintangi oleh Lee Sun Kyun dan Song Ji Hyo.

Pada dasarnya, siri drama ini mengisahkan mengenai seorang lelaki bernama Do Hyun Woo lakonan Lee Sun Kyun yang bekerja sebagai pengarah di dalam sebuah syarikat penyiaran selama 10 tahun.

Secara tiba-tiba hatinya berasa luluh apabila mengetahui bahawa isterinya, Seo Yeon lakonan Song Ji Hyo telah berlaku curang bersama dengan lelaki lain.

Dari situ, Do Hyun berusaha dengan penuh gigih untuk mencuba sebaik mungkin bagi melindungi pernikahannya.

Do Hyun telah mula untuk bertanya dan kerap meminta pendapat daripada sebuah laman sesawang di media sosial yang khusus membincangkan mengenai hubungan percintaan.

Namun sebagaimana yang diketahui umum, pendapat-pendapat yang diberikan adalah jelas cukup berbeza di mana ada yang berunsur positif malah tidak kurang juga sebaliknya.

Lalu, apakah tindakan yang bakal dilakukan oleh Do Hyun dalam melaksanakan usaha untuk menyelamatkan ikatan perkahwinannya.

Untuk mengetahui kesudahan kisah yang banyak menerapkan positif dalam menyelesaikan isu rumah tangga ini, jangan terlepas untuk terus menonton siri drama My Wife’s Having an Affair this Week sehingga ke penghujungnya.