Usaha mencantikkan persekitaran kampung

Usaha mencantikkan persekitaran kampung

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 4 Okt – Majlis Perundingan Kampung Penabai/ Kuala Tutong kelmarin telah mengadakan penanaman pokok-pokok kelapa di sepanjang tebing sungai dan di kawasan persekitaran berdekatan Grandstand Perlumbaan Bot di Kampung Penabai/Kuala Tutong.

Acara penanaman pokok kelapa itu adalah inisiatif Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan penduduk-penduduk kampung berkenaan dalam mengurangkan serta mengawal tebing-tebing sungai berdekatan dengan Grandstand Perlumbaan Bot daripada susur dan secara tidak langsung membantu mencantikkan lagi persekitaran kampung.

Turut hadir menyertai aktiviti tersebut ialah Pemangku Penghulu Mukim Pekan Tutong, Haji Mumin bin Abdul Razak selaku Pemangku Sementara Ketua Kampung Penabai/Kuala Tutong serta pegawai dan kakitangan dari Jabatan Daerah Tutong.

Selain penanaman pokok-pokok kelapa, aktiviti membersihkan kawasan tebing sungai dan persekitarannya juga dilaksanakan seperti mengutip sampah sarap dan memotong rumput.

Semasa acara penanaman pokok anjuran MPK Penabai/Kuala Tutong dijalankan.
Semasa acara penanaman pokok anjuran MPK Penabai/Kuala Tutong dijalankan.

Aktiviti kebersihan kampung itu merupakan salah satu aktiviti tetap MPK berkenaan yang diadakan pada setiap Ahad pertama, setiap bulan dalam usaha mengekalkan kebersihan kawasan Grandstand Perlumbaan Bot dan persekitarannya.

Mereka turut berharap dan memohon kerjasama daripada pengunjung-pengunjung, nelayan dan para pemancing supaya akan dapat sama-sama menjaga kebersihan kawasan dan persekitaran Kampung Penabai/Kuala Tutong terutamanya kawasan-kawasan di sepanjang tebing sungai, tempat penurunan/penaikan perahu di bawah Kawalan Jabatan Perikanan dan hujung pantai Kampung Penabai/Kuala Tutong.

Dengan persekitaran kampung yang bersih akan dapat menarik para pengunjung dan pelancong dengan tidak secara langsung akan dapat menjadikan Kampung Penabai/Kuala Tutong sebagai satu destinasi pelancongan selaras dengan pelan strategik Jabatan Daerah Tutong untuk menjadikan Daerah Tutong sebagai destinasi pelancongan.

ARTIKEL YANG SAMA